Polis sudah menyerahkan semula kertas siasatan (IP) membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali ke Jabatan Peguam Negara (AGC).
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan perkara itu.
Bagaimanapun Mior Faridalathrash memberi gambaran siasatan mengenai kes berkenaan belum disimpulkan.
Ketika ditanya apakah IP dihantar kembali, Mior Faridalathrash memberitahu Malaysiakini secara ringkas: "Ya, untuk kajian lanjut."
Ahli Parlimen Kuala Nerus disiasat polis kerana melanggar perintah kuarantin kendiri selepas kembali dari kunjungannya ke Turki pada Julai lalu.
Dia muncul di Dewan Rakyat kurang dari seminggu selepas pulang dan hanya disedar selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, membuat pendedahan mengenainya.
Ia kemudian mencetuskan kemarahan orang ramai kerana dari semasa ke semasa kerajaan mendedahkan jumlah orang awam yang dikenakan pelbagai tindakan ke atas orang awam yang melanggar kuarantin.
Pada Ogos, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap Khairuddin atas keingkaran berkenaan.
Baca Elok Khairuddin bersihkan namanya di mahkamah
Pada 30 Sept pula Pengarah Jabatan Siasatan Bukit Aman, Huzir Mohamed, memberitahu AGC mengarahkan polis untuk mengambil "beberapa tindakan lagi" dalam siasatan mereka ke atas pemimpin kanan PAS itu.
Dalam kemarahan itu muncul pelbagai desakan untuk Khairuddin meletak jawatan menteri namun dia enggan dan menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung tugasnya.
"Saya mempunyai pandangan saya sendiri tetapi saya menyerahkan kepada polis (menyiasat). Kementerian Kesihatan juga mengeluarkan kenyataan.
"Bagi saya, ini sudah selesai, walaupun saya mempunyai pandangan saya sendiri," katanya.
Nama Khairuddin sekali lagi menjadi sebutan ramai sejak semalam selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi amaran untuk mengambil tindakan 'merotan' pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.
Muhyiddin juga berjanji untuk tidak mengamalkan sikap dwistandard untuk menguatkuasakan peraturan.
Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, misalnya menciap menyindir dengan berkata: "Nak rotan? Rotan menteri Takiri (gelaran Khairuddin) dahulu please."