Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sesi persekolahan di Klang masih berjalan walaupun zon merah

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan sesi persekolahan di Klang masih diteruskan seperti biasa setakat ini walaupun daerah itu dikategorikan zon merah tengah hari semalam.

Pengarahnya, Izmi Ismail, ketika dihubungi Bernama semalam berkata sebarang penutupan sekolah hanya akan dilakukan selepas mendapat saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dia berkata setakat ini, hanya tujuh kelas melibatkan dua sekolah di Klang ditutup selepas pelajar dan gurunya diarah menjalani kuarantin di rumah kerana mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19.

“Ia membabitkan masing-masing satu kelas tingkatan lima dan tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandamaran Jaya dan lima kelas tahun enam di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Andalas.

“Bagaimanapun, JPN Selangor melakukan proses sanitasi di semua kelas yang terlibat,” katanya.

Izmi berkata kuarantin selama 14 hari membabitkan pelajar dan guru SMK Pandamaran Jaya bermula pada 30 Sept manakala bagi SK Taman Sri Andalas pula pada 3 Okt.

Dia berkata pihak sekolah juga sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mematuhi segala saranan pejabat kesihatan daerah bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Selangor mencatatkan 232 kes aktif semalam termasuk di Klang yang merekodkan 77 kes sedang dirawat.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas berhubung situasi semasa Covid-19 berkata, setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS