Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seringkali membahasakan diri beliau sebagai "abah" (panggilan mesra untuk bapa, ayah) ketika menyampaikan perutusan mengenai Covid-19.
Hari ini, ketika berucap menyentuh individu yang ingkar enggan mematuhi SOP membendung penularan Covid-19, Muhyiddin berkata:"Maaflah jika abah ini mula menggunakan rotan."
Bagaimanapun, kali ini penggunaan kata ganti nama bertujuan menunjukkan sikap ramah Muhyiddin itu kurang menjadi apabila mengundang maklum balas netizen.
Malah, ada yang menggunakan tanda pagar #MuhyiddinOut bagi menyuarakan rasa tidak puas hati di Twitter, menggesanya meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong berkata walaupun Muhyiddin mengakui lonjakan kes Covid-19 dikaitkan dengan pilihan raya Sabah baru-baru ini, tetapi masih belum ada permintaan maaf daripada pihaknya.
"Kami tidak berada di sini untuk mencari kesalahan, tetapi permintaan maaf kerana melancarkan rampasan kuasa setidaknya akan menenangkan sentimen masyarakat, selain permintaan maaf untuk para menterinya ingkar SOP.
"Seorang kanak-kanak berusia satu tahun dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19, yang paling muda meninggal dunia kerana wabak itu di negara ini.
"Bagaimanapun PM melihat ia sesuai untuk bergurau tentang 'abah rotan' padahal sebenarnya beliau seharusnya menghalakan sasarannya kepada VIP seperti Menteri Khairuddin Aman Razali yang gagal mematuhi SOP," katanya pada hantaran di Facebook dan Twitter.
Dalam pada itu, pengguna akaun Twitter @faizalhamssin berkata sekarang bukan masanya berseloroh dengan 'lawak abah rotan'.
"Tolonglah, penulis ucapan perdana menteri. Bayi berumur setahun baru meninggal dunia kerana Covid-19. Kes direkod paling tinggi sejak wabak melanda.
"Orang ramai marah, bimbang, takut. Terlalu banyak rasa tidak terjamin mengenai masa depan," katanya
Netizen @QurratuAin pula berkata,"suruh abah rotan menteri dulu baru rotan kami semua."
Sementara itu pengguna Twitter @AnuNushi berkata kenyataan rotan Muhyiddin mengalihkan perhatian terhadap peningkatan kes Covid-19.
"Hakikatnya, beliau tidak mengambil tanggungjawab terhadap gerombolan ahli politiknya yang berkempen (pada PRN Sabah) menyumbang kepada penambahan kes Covid-19.
"(Ucapan beliau) dari awal hanya menyalahkan orang lain dan pembaziran 30 minit masa kami," katanya.
Bagaimanapun, pensyarah komunikasi Coventry University Niki Cheong berkata terdapat perkara yang lebih mendasar daripada 'seloroh rotan' Muhyiddin itu.
"Rujukan rotan itu adalah peringatan buruk bahawa penderaan fizikal kanak-kanak masih menjadi sebahagian daripada budaya. Tetapi juga, sebagai kiasan yang mengekalkan kesan ketakutan yang dikenakan terhadap rakyat Malaysia selama berdekad-dekad.
"Walaupun kedengaran seperti jenaka, ia tidak semestinya bermaksud begitu," katanya di Twitter.
Awal hari ini, Muhyiddin menyampaikan perutusan yang disiarkan di televisyen ketika keadaan Covid-19 Malaysia memburuk ke tahap yang paling teruk.
Perutusan khas perdana menteri itu berlaku sejurus selepas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan 691 kes baru dan empat kematian hari ini, sementara kes aktif mencapai tahap tertinggi baru pada 2,936 kes.
Antara kematian yang dilaporkan hari ini termasuk seorang bayi perempuan berusia satu tahun yang dibawa ke jabatan kecemasan Hospital Semporna pada 1 Oktober dan meninggal dunia semalam apabila keadaannya bertambah buruk.
Muhyiddin ketika berucap dalam perutusan khas hari ini secara berseloroh berkata akan mula menggunakan rotan terhadap pihak yang melanggar undang-undang berkaitan SOP Covid-19.
"Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh kepada SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
"Petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan.
"Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat.
"Maaflah jika abah ini mula menggunakan rotan," katanya.