Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noor Hisham kuarantin kendiri: Alhamdulillah rasa sihat

Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah memulakan sidang akhbar Covid-19 dengan menjelaskan kepada orang ramai mengenai keadaan kesihatannya.

"Makluman saya sedang jalani tempoh kuarantin 14 hari dan Alhamdulillah rasa sihat," katanya.

Untuk rekod, Noor Hisham menerajui operasi antara agensi kerajaan dalam pertempuran melawan penularan wabak Covid-19 sejak awal lagi.

Bagaimanapun, beliau mulai menjalani kuarantin kendiri sejak semalam susulan Menteri di JPM, Dr Zulkifli Mohamad diuji positif koronavirus baru itu.

Noor Hisham dikenal pasti antara yang menyertai mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada hari Sabtu untuk membincangkan keadaan Covid-19.

Antara yang hadir mesyuarat itu termasuklah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, para menteri kanan dan juga Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beberapa pihak, termasuk netizen menyuarakan rasa bimbang mengenai keadaan kesihatan Dr Noor Hisham sejak laporan menyebut beliau hadir mesyuarat MKN itu.

Sidang akhbar pengarah kesihatan hari ini disiarkan melalui Facebook Live memandangkan Noor Hisham kini dikuarantin di kediamannya dan kedengaran suara beliau seperti ada menghadapi masalah pernafasan.

Ditanya kemudian mengenai hal itu, Dr Noor Hisham memberi jaminan tidak ada yang perlu dirisaukan mengenai kesihatannya.

"Itu disebabkan memakai pelitup muka," katanya melalui pesanan teks.

Hari ini, negara menyaksikan sebanyak 691 kes baru, rekod kes harian paling tinggi sejak wabak itu menular pada Januari lalu.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS