Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun Maharani dijangkiti Covid-19
Diterbitkan:  Oct 6, 2020 4:26 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Johor, Nor Hayati Bachok menjadi ahli politik terbaru yang dijangkiti Covid-19.

Perkara itu diumumkan pusat khidmatnya dalam satu kenyataan hari ini, selepas dia mendapat keputusan ujian yang dibuat pada 4 Oktober lalu. Keputusan ujian itu diperolehi semalam.

Menurut kenyataan itu, sejurus kembali dari Sabah pada 26 Sept lalu, Nor Hayati telah menjalani ujian saringan pertama dan didapati negatif, namun tetap menjalani kuarantin di rumah dan mengasingkan diri walau tidak diarahkan berbuat demikian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun, pihaknya kecewa apabila ada yang mendedahkan maklumat peribadi Adun berkenaan dan keluarganya.

"Pihak kami telah mengenal pasti individu yang mula menyebarkan mesej tersebut dan telah membuat laporan polis serta bakal kami susuli dengan tindakan undang-undang.

"Pihak kami menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadinya dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan," menurut kenyataan itu.

Ketika dihubungi, Hayati dua kali mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dia dijangkiti Covid-19.

Hayati menjadi Adun kelima yang dijangkiti wabak itu.

Semalam, dua Adun Selangor, iaitu Shatiri Mansor (Kota Damansara) dan Lim Yi Wei (Kampung Tunku) juga disahkan positif Covid-19.

Pada 1 Oktober lalu pula, Adun Ayer Limau Amiruddin Yusof dan Adun Lunas Azman Nasrudin disahkan dijangkiti wabak itu, setelah pulang dari Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga mengumumkan bahawa dia positif Covid-19.

Keputusan itu menyebabkan menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang hadir mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional (MKN) khas yang turut disertai Zulkifli menjalani kuarantin kendiri di rumah, termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS