Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM700,000 terhadap enam syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa pengesahan maklumat pengguna yang dilakukan pada 2019.

Menurut MCMC dalam kenyataannya hari ini, kompaun tertinggi ialah terhadap U Mobile Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000, diikuti Celcom Axiata Berhad dan Tune Talk Sdn Bhd, masing-masing dengan tiga kompaun bernilai RM150,000.

Sementara itu, Maxis Broadband Sdn Bhd dikenakan dua kompaun bernilai RM100,000 manakala YTL Communication Sdn Bhd dan Tone Plus Sdn Bhd masing-masing dikenakan satu kompaun bernilai RM40,000 dan RM10,000.

Kesemua kompaun yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan di bawah Seksyen 127 dan dibaca bersama Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100, 000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Tindakan yang diambil itu mencerminkan ketegasan dan komitmen MCMC dalam memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara selain memastikan proses pendaftaran SIM prabayar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Pihak MCMC tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, selain tindakan penguatkuasaan, pelbagai langkah proaktif lain turut dilaksana antaranya pendaftaran kad SIM menggunakan platform automatik yang sulit dan terjamin dan tidak mendaftarkan nama pelanggan untuk memiliki lebih daripada lima SIM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS