Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pasukan pembelaan Rosmah Mansor mendakwa dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih dan berniat jahat, demikian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Peguam pembelaaan, Akberdin Abdul Kader berkata demikian semasa perbicaraan terhadap Rosmah berkaitan projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Peguam veteran itu membangkitkan perkara ini ketika memeriksa balas saksi pendakwaan, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noornabilah Mohd Aziman.

Akberdin menyoal saksi berkenaan berhubung dakwaan bahawa setiausaha Umno bahagian Pekan, Aazmey Abu Talib tidak pernah didakwa sehingga hari ini berkaitan projek itu, namun Rosmah didakwa atas isu tersebut.

Semasa perbicaraan hari ini, Akberdin merujuk kepada perjanjian yang didakwa di mana Aazmey dikatakan akan dibayar RM50 juta oleh Jepak Holdings bagi kerja-kerja perundingan berkaitan projek berkenaan.

Semasa prosiding sebelum ini, nama Aazmey disebut semasa pemeriksaan balas oleh pasukan peguam Rosmah.

Peguam juga membangkitkan apakah Rosmah dikenakan pendakwaan selektif dan berniat jahat kerana kes rasuah terhadap bekas pembantunya Rizal Mansor digugurkan awal tahun ini sebelum Rizal memberi keterangan terhadap Rosmah dalam perbicaraan sekarang.

Pada 8 Jan tahun ini, dilaporkan bahawa pihak pendakwaan menarik balik kes rasuah terhadap Rizal yang berkaitan dengan projek itu.

Akberdin: Selective prosecution (pendakwaan terpilih) berlaku dalam kes ini, aniaya beliau (Rosmah) dan keluarga beliau. Gajah depan mata tak nampak. Ada nampak (didakwa) perjanjian Aazmey, namun dia tidak pernah didakwa? Betul?

Noornabilah: Luar pengetahuan saya.

Akberdin: Tuduhan terhadap beliau (Rosmah) adalah satu bentuk malicious prosecution (pendakwaan berniat jahat). Orang patut dituduh macam Rizal (Mansor) ditarik balik. Aazmey tak didakwa sehingga hari ini, betul?

Noornabilah: Saya hanya siasat, keputusan tuduh (sama ada menarik balik pertuduhan) luar pengetahuan saya, luar bidang tugas saya.

Ketika Akberdin mengulangi bahawa tuduhan terhadap Rosmah adalah satu bentuk tekanan, Noornabilah membantahnya.

Rosmah dibicarakan atas tiga tuduhan menyalahgunakan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.

Dia menghadapi satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion yang diperoleh melalui rundingan langsung dengan kementerian berkenaan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS