Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganggur didakwa bunuh kawan
Diterbitkan:  Oct 6, 2020 1:14 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakan yang mayatnya ditemukan dalam sebuah beg hitam di dalam kereta yang terbakar di Pulau Sebang di Alor Gajah, bulan lepas.

A. Sitambarasan, 28, yang beralamat di Johor, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Sua Chun Chai, 31, seorang pekerja pendawaian di hadapan sebuah bengkel di Jalan IKS 6, IKS Pulau Sebang di sini antara 14 Sept dengan 17 Sept lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 Nov ini untuk sebutan semula kes, bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 17 Sept lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris dilaporkan berkata satu mayat ditemukan dalam sebuah beg hitam di dalam kereta jenis Honda Civic Ferio yang terbakar di hadapan sebuah bengkel di Pulau Sebang, pada 7.25 pagi.

Beliau dipetik sebagai berkata mayat tanpa identiti itu ditemukan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari balai Tampin, Negeri Sembilan di bahagian tempat duduk penumpang belakang kereta tersebut, selepas berjaya memadam kebakaran kereta itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS