Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pekerja asing Top Glove terima pampasan hingga RM20,000
Diterbitkan:  Oct 6, 2020 10:57 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Top Glove membayar ganti rugi sehingga hampir RM20,000 setiap orang kepada beberapa pekerja asingnya sebagai sebahagian usaha untuk menyelesaikan larangan import Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Pembayaran tersebut adalah sebagai pampasan kepada pekerja asing yang terpaksa membayar yuran kepada pelbagai agensi untuk mendapatkan pekerjaan dengan syarikat tersebut.

Aktivis buruh, Hall berkata, kira-kira 12,000 pekerja asing kini bekerja di syarikat itu dan mereka dijangka menerima pampasan yang berbeza berdasarkan kewarganegaraan dan juga tarikh pengambilan mereka sebagai pekerja.

Hall dalam kenyataannya berkata, pekerja dimaklumkan mereka yang berlainan kewarganegaraan akan menerima pampasan berbeza kerana membayar jumlah yang berbeza bagi kos pengambilan pekerja.

Hall menjelaskan berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pekerja menunjukkan pekerja Bangladesh akan menerima pampasan hampir RM20,000, pekerja Myanmar mendapat sekitar RM7,000, pekerja Vietnam menerima di bawah RM6,000, dan pekerja Indonesia menerima sekitar RM1,000.

Sementara itu, pekerja Nepal akan menerima sekitar RM6,000 tetapi mereka yang diambil bekerja selepas 1 Januari 2019, akan menerima separuh daripada jumlah tersebut.

Pampasan akan dibayar kepada pekerja selama 12 bulan mengikut surat yang diterima oleh pekerja.

Hall berkata, pekerja juga dimaklumkan pembayaran itu juga bergantung sama ada mereka diambil bekerja ketika Dasar Pengambilan Kos Sifar syarikat yang dilaksanakan pada 1 Januari 2019, atau sebelum tarikh itu.

Bagaimanapun, mereka yang diambil bekerja di bawah Dasar Pengambilan Kos Sifar akan mendapat jumlah pampasan yang lebih rendah, katanya.

Malaysiakini telah berusaha menghubungi Top Glove untuk mendapatkan respons mengenai perkara ini.

 "Keputusan 'pusingan u' ini menunjukkan proses pengambilan Top Glove yang dikatakan sebagai beretika atau kos sifar, sejak 1 Jan 2019 tetap tidak beretika dan memeras ugut sehingga pekerja yang direkrut perlu membayar kos tinggi untuk mendapatkan pekerjaan.

"Begitu juga, Top Glove menerima bayaran yang berkaitan dengan pengambilan pekerja dan perbelanjaan kos oleh pekerjanya jauh lebih tinggi daripada yang dianggarkan pada mulanya atau lebih banyak kos ini harus dibayar kembali kepada pekerja," katanya.

Hall berkata tempoh pembayaran balik pampasan dalam masa 12 bulan adalah "tidak sesuai" bagi syarikat yang membuat keuntungan besar pada masa ini kerana ia hanya akan memanjangkan beban hutang pekerja asing tersebut.

Pekerja asing sering membayar yuran dan kos yang berkaitan dengan pengambilan mereka sekali gus.

Dilaporkan pada Ogos bahawa Top Glove telah mulai membayar balik pekerja asingnya sebelum pelaksanaan Dasar Pengambilan Kos Sifar pada Januari tahun lalu.

Pada masa itu, Top Glove mendakwa mengeluarkan RM4.4 juta kepada sejumlah pekerja asing yang angkanya tidak didedahkan.

Ini menyebabkan CBP AS mengeluarkan sekatan import terhadap dua anak syarikat Top Glove.

Top Glove berkata jumlah bayaran pampasan yang akan dibayar dianggarkan berjumlah RM53 juta, tertakluk kepada penyelesaian dengan CBP dan syarikat itu terus berunding dengan CBP bagi menyelesaikan sekatan yang dikenakan.

Top Glove merupakan pengeluar sarung tangan getah perubatan terbesar di dunia dan kini mengendalikan 34 kilang sarung tangan dengan jumlah tenaga kerja seramai 20,000 orang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS