Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan kes tanah adat di Tanjung Manis pada 21 Okt

Mahkamah Tinggi Sibu menetapkan 21 Oktober bagi membuat keputusan mengenai isu tanah hak adat (NCR) Orang Asal yang melibatkan lima bidang tanah seluas 4200 hektar di Tanjung Manis, Mukah.

Tanah berkenaan terletak di sekitar Sungai Sebayang, Tusok di Tanjung Manis yang terletak di Sibu.

Enam penduduk kampung yang mewakili seramai 173 pemohon memfailkan kes tersebut untuk meminta pengisytiharan mengenai hak milik tanah dan tanah hak adat mereka tahun lalu.

Ini berlaku setelah pajakan tanah sementara diberikan kepada syarikat milik kerajaan negeri Sarawak pada tahun 2017 dan 2018.

Seorang peguam yang mewakili penduduk kampung, Abdul Raafidin Majidi memberitahu Malaysiakini bahawa kes tersebut telah difailkan pada Sept 2019 dan keputusan mengenainya akan disampaikan pada akhir bulan ini.

"Keputusan dari Mahkamah Tinggi Sibu akan ditetapkan pada 21 Oktober," kata Abdul Raafidin ketika dihubungi.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini bertarikh 10 Sept 2019, terdapat lima bidang tanah yang diberikan kepada Pusaka Capital Sdn Bhd oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak, pada 17 April 2017 dan 28 Mei 2018.

Pusaka Capital Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC) dan diberi kepercayaan untuk menerajui pembangunan Tanjung Manis.

Bagaimanapun, pihak plaintif mendakwa mereka memegang hak tanah adat atas tanah berkenaan yang melibatkan empat buah kampung, iaitu Kampung Sebayang, Kampung Tusok, Kampung Semalau dan Kampung Skumong.

Penduduk kampung mendakwa tanah berkenaan telah diduduki oleh masyarakat Iban sejak tahun 1875.

Plaintif juga mendakwa mereka dan nenek moyang mereka menanam pokok buah-buahan dan sering menggunakan sungai sebagai alat pengangkutan secara turun temurun. Oleh sebab itu hak mereka terhadap tanah tersebut harus diakui di bawah Kanun Tanah Sarawak (bab 81) berkaitan hak tanah untuk Orang Asal.

Pusaka Capital dinamakan sebagai defendan pertama, sementara superitendan Tanah dan Survei bahagian Mukah, pengarah Tanah dan Survei Sarawak dan kerajaan negeri Sarawak dinamakan sebagai defendan kedua, ketiga dan keempat.

Syarikat itu mengarahkan penduduk kampung membersihkan tanah tersebut pada 9 September 2020 setelah mendapat perintah injunksi daripada mahkamah dalam tuntutan berasingan pada 9 Oktober 2019.

Penduduk kampung mengemukakan tuntutan terbaru sebagai tindak balas mereka.

Penduduk kampung sebelum ini diusir bagi pembinaan projek Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-Mega), yang sebelumnya dikenal sebagai Hab Halal Tanjung Manis.

Projek ini dilancarkan pada tahun 2009 oleh kerajaan negeri Sarawak.

Selain meminta pengisytiharan mahkamah mengenai hak tanah adat, penduduk kampung juga meminta pengisytiharan mahkamah bahawa pajakan tanah kepada Pusaka Capital adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka juga meminta perintah mahkamah agar Pusaka Capital menghentikan operasi mereka di tanah berkenaan.

Penduduk kampung juga menuntut ganti rugi, ganti rugi teladan dan / atau ganti rugi yang teruk daripada pihak defendan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS