Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
122 sekolah di Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang tutup mulai esok
Diterbitkan:  Oct 5, 2020 10:20 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan 122 buah sekolah harian di Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang di Sabah untuk ditutup.

Penutupan itu akan berkuat kuasa esok, iaitu sehari lebih awal daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga daerah itu yang bermula 7 Oktober ini.

Menurut KPM, arahan membabitkan melibatkan 86 buah sekolah rendah, 25 buah sekolah menengah dan 11 buah sekolah swasta di kawasan terbabit. Sekolah di luar kawasan PKPB pula beroperasi seperti biasa.

Hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk menguatkuasakan PKPB di tiga daerah yang terletak di pantai barat Sabah itu.

Setakat ini, Kota Kinabalu mencatatkan 160 kes positif, manakala Putatan dengan 11 kes dan Penampang 17 kes.

Sebelum ini, sebanyak 205 sekolah - membabitkan daerah Semporna, Lahad Datu, Tawau, Kunai, dan Kinabatangan - juga diarahkan tutup sekurang-kurangnya 14 hari ekoran peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Kawalan rentas daerah juga dikenakan di seluruh negeri itu berkuatkuasa dari 3 Oktober hingga 16 Oktober ini.

Setakat ini, terdapat 2,519 kes aktif Covid-19 di Sabah.

Penularan Covid-19 di kalangan pelajar sekolah telah menyebabkan beberapa sekolah ditutup, antaranya di Terengganu.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hari ini menggesa Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah diberi kuasa untuk menutup sesi persekolahans ecara fizikal jika ada kes Covid-19 melibatkan murid atau guru.

Menurut NUTP, walaupun arahan penutupan akibat Covid-19 dibuat atas saranan serta nasihat Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan namun JPN, PPD dan sekolah sendiri lebih maklum situasi sebenar termasuk keseriusan ancaman yang dihadapi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS