Lim Kit Siang melahirkan rasa kesal kerana Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow tidak dijemput hadir mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Covid-19.
Mesyuarat pada Sabtu lalu itu dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan lonjakan kes positif terbaru di Malaysia, yang berlaku selepas pilihan raya negeri Sabah.
"Kerana inilah rakyat Malaysia perlu bertanya kepada kerajaan Muhyiddin, mengapakah kerajaan Muhyiddin terus-menerus merendahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya yang akan mengganggu usaha-usaha untuk menyatupadukan rakyat dalam melawan wabak Covid-19?
"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempengerusikan satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 pada hari Sabtu lepas, namun begitu, dengan jelas sekali, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan tidak ada dalam mesyuarat ini.
"Saya bertanyakan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengapa beliau tidak menghadiri mesyuarat ini dan beliau menjawab yang beliau tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkaitan Covid-19 ini," kata Lim pada satu kenyataan petang ini.
"Saya masih lagi ingat kegelisahan yang kemudiannya disusuli dengan permohonan maaf daripada Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali, kerana tidak menjemput pemimpin negeri Pakatan Harapan ke mesyuarat khas pertama yang dipengerusikan oleh Muhyiddin selepas beliau menjadi perdana menteri.
"Mengapakah kerajaan Perikatan Nasional memutuskan untuk bermain politik lagi, dan bukannya menunjukkan tauladan untuk menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira parti politik dalam usaha melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 ini," soal pemimpin DAP veteran itu.
Lim menggesa rakyat Malaysia untuk bertanya kepada kerajaan kenapa terus merosakkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat yang mengurangkan usaha menyatukan semua rakyat Malaysia dalam perang melawan Covid-19.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu kemudian menyorot kes melibatkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, yang disiasat kerana tidak mengikuti SOP selepas kembali dari luar negara.
"Isu berbangkit yang kekal menjadi misteri sehingga hari ini adalah mengapa kes mudah seperti pengingkaran SOP Kuarantin Covid-19 oleh menteri industri perladangan dan komoditi mengambil masa yang amat lama, dengan pihak polis mengulangi jawapan yang sama, mengatakan kes ini masih dibawah siasatan,” katanya lagi.
Khairuddin yang didenda RM1,000 telah memohon maaf kerana tidak mematuhi tempoh kuarantin wajib selama 14 hari dan berjanji mendermakan gajinya dari Mac ke Ogos untuk tabung Covid-19.
Bagaimanapun, pemimpin PAS itu berkata tiada sebab untuk beliau meletakkan jawatan sebagai menteri susulan kegagalan mematuhi perintah kuarantin wajib pada bulan lalu.
Bukan kesalahan tugas, cuma khilaf SOP
Khairuddin berkata ini kerana beliau tidak membuat sebarang kesalahan yang membabitkan tugasnya.
"Saya tak buat salah melibatkan kerja, tetapi melibatkan kekhilafan dalam isu prosedur operasi standard (SOP).
"Sebenarnya saya tak nak buat keterangan panjang (berkenaannya) dan serahkan kepada polis, walaupun saya ada pandangan sendiri.
"Bagi saya (isu itu sudah) selesai, walaupun saya ada pandangan sendiri," katanya
Sementara itu, Lim menggesa Muhyiddin untuk menekankan pada mesyuarat kabinet Rabu ini mengenai kepentingan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan orang ramai dalam perang melawan Covid-19 di Malaysia.
"Adakah beliau akan dan mampu berbuat demikian," soalnya.