Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KK, Penampang, dan Putatan di bawah PKP Bersyarat mulai 7 Okt
Diterbitkan:  Oct 5, 2020 4:01 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Majlis Keselamatan Negara telah meletakkan tiga lagi daerah di Sabah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menangani Covid-19 di negeri itu.

Daerah itu ialah di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, yang akan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu (7 Oktober 2020).

"Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan.

"Hanya Perkhidmatan Perlu (Essential Service) termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan.

Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut," kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakub dalam kenyataan media petang ini.

Restoran, gerai makanan, stesen minyak dan kedai farmasi di kawasan berkenaan hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 6 petang.

Sementara pelanggan restoran hanya dibenarkan bungkus makanan.

Semua pasar, kecuali pasar harian (6 pagi hingga 2 petang), tidak dibenarkan dibuka.

Dari segi perjalanan, dalam tempoh ini, hanya orang Sabah yang dibenarkan memasuki mana-mana bahagian di negeri ini.

Perjalanan untuk membeli bekalan hanya dibenarkan maksimum dua orang.

Mereka yang bekerja di luar daerah yang terlibat tidak dibenarkan keluar.

Pertanyaan boleh diajukan ke pusat operasi Pengurusan Bencana Sabah di talian 088-369434.

Baru seminggu yang lalu, pihak berkuasa telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Terdapat 26 daerah di Sabah.

Menurut Jabatan Kesihatan Sabah, Kota Kinabalu menjadi daerah di kawasan pantai barat negeri dengan kes aktif tertinggi setakat semalam, iaitu 160 kes.

Penampang dan Putatan - yang terletak bersebelahan dengan Kota Kinabalu - pula masing-masing mencatat 17 dan 11 kes.

Setakat ini, daerah yang berdepan kes tertinggi adalah di pantai timur, iaitu Semporna (451), Tawau (340), Kunak (132) dan Lahad Datu (98).

Daerah lain yang mempunyai kes sebanyak dua angka ialah Papar (28) dan Sandakan (22).

Nabawan dan Keningau pula tiada kes setakat ini.

Secara keseluruhan, terdapat 1,206 kes aktif di Sabah setakat semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS