Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Macam dalam mimpi - Doktor cerita rawat kes Covid-19 di Semporna
Diterbitkan:  Oct 5, 2020 3:10 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Seorang doktor membuat hantaran di Facebook bagi menunjukkan keadan di Semporna, Sabah yang menyaksikan peningkatan Covid-19.

Dalam hantarannya semalam, Muhamad Naim Ab Razak menyifatkannya "seperti bermimpi atau tengok filem".

Menurut doktor itu, tiga bulan lalu dia membantu Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu untuk merangka "pelan bencana" Covid-19.

Pada masa ini Muhamad Naim membantu pasukan perubatan di Semporna.

"Setiap hari pesakit datang (ke hospital dengan masalah) tak boleh bernafas, batuk teruk. Ramai yang kritikal, ada yang terpaksa diberi bantuan pernafasan menggunakan mesin ventilator.

"Paling teruk, wad dan ICU (Unit Rawatan Rapi) penuh. Covid center tak boleh tampung (bilangan pesakit)," katanya lagi.

Rasa seperti bermimpi atau tengok filem. Bulan 3 bantu team Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu setup...

Posted by Muhamad Na'im Ab Razak on Ahad, 4 Oktober 2020

Dia juga membangkitkan tentang rancangan mewujudkan "ICU dan wad kecemasan mini Covid" di Semporna yang disifatkannya sebagai "bandar koboi".

Ini kerana hospital di Tawau dan Lahad Datu sudah penuh, katanya.

"(Sepanjang) sembilan tahun jadi doktor, ini kali pertama saya berdepan situasi sebegini.

"Saya pun takut juga akan positif (wabak itu) tetapi terpaksa kuatkan semangat," katanya lagi.

Sabah menyaksikan kenaikan kes Covid-19 susulan pilihan raya negeri yang berakhir 26 September lalu. Penularan tersebut juga telah tersebar di beberapa tempat lain dalam negara.

Pada masa ini, sebanyak 1,206 kes sedang dirawat di negeri itu. Daripada jumlah itu, 452 kes adalah di Semporna - menjadikannya daerah dengan kes aktif tertinggi.

Menurut laman web perubatan Hospital.com.my, Hospital Semporna bukan hospital pakar dan memiliki 79 katil.

Kementerian Kesihatan telah menghantar kakitangan dan ventilator dari Semenanjung Malaysia ke Semporna dan Tawau bagi membantu rawatan di sana.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS