One Utama di Damansara, Kuala Lumpur menjadi pusat beli-belah terbaru yang terjejas oleh gelombang baru Covid-19 setelah salah seorang pekerja di situ dikaitkan dengan wabak itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, One Utama mengatakan pihaknya telah mengetahui secara lisan mengenai kes yang melibatkan kakitangan Mac City Service Center, yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah itu.
"Kakitangan tersebut tidak pernag masuk ke premis pusat beli-belah kami sejak habis bekerja pada 30 September, dengan cuti pada 1 Oktober.
"Kami telah mengesan rekod kemasukannya ke pusat beli-belah dan Mac City Service Center, dan mengesahkan bahawa suhu kakitangan itu berada di bawah 37.5 celcius.
"Dia sekarang berada di bawah jagaan hospital kerajaan. Sampai saat ini, kami belum menerima pemberitahuan rasmi dari pihak berkuasa kesihatan," kata kenyataan itu.
Pihak pengurusan telah mengambil langkah-langkah yang diperlukan dengan segera menutup premis Mac City Service Center dan melakukan pembasmian, sementara rakan sekerja kakitangan berkenaan yang terlibat dikuarantin.
Ia juga melakukan penelusuran kontak rapat berdasarkan rakaman CCTV dan pemeriksaan QR pesakit.
Bulan lalu, enam pusat beli-belah dilaporkan terjejas akibat kes Covid-19, termasuk sebuah pusat beli-belah di Nilai.
Perkembangan ini hadir ketika negara dikejutkan dengan lonjakan kes Covid-19, yang kebanyakannya melibatkan individu dengan sejarah perjalanan di Sabah.
Malaysia telah mencatat kes harian tiga digit sejak 1 Oktober, dengan kes tertinggi sebanyak 317 dicatatkan pada 3 Oktober.