Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah mengenai Covid-19 meminta langkah pencegahan yang ketat untuk menangani lonjakan kes baru.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengatakan bahawa langkah-langkah baru itu tertakluk kepada persetujuan Majlis Keselamatan Negara.
Langkah-langkah yang diminta adalah:
- Hanya membenarkan operasi premis perniagaan untuk perkhidmatan dan barangan perlu (essential services and essential goods):
- Menutup pasaraya kecuali premis perniagaan yang membekalkan perkhidmatan dan barangan perlu (essential services and essential goods);
- Tidak membenarkan 'dine-in' di restoran, kedai makan dan gerai makan;
- Menutup Tamu, Pasar Malam dan Pasar Tani;
- Menutup Rumah-rumah Ibadat (Masjid, Surau, Gereja, Tokong dan lain-lain) kepada orang awam;
- Menutup Taman Awam, Pusat Rekreasi, Indoor dan Outdoor Playground;
- Menutup Perpustakaan Awam;
- Menutup sekolah-sekolah termasuk taska, pusat japan, tadika dan tabika;
- Mengurangkan 50 peratus kapasiti sebenar penumpang bagi perkhidmatan bas henti-henti;
- Menghadkan kapasiti kenderaan persendirian kepada dua orang;
- Menjadikan Stesen Kuarantin yang telah diwartakan sebagai Pusat Wad Tambahan / Rawatan Pesakit (Hospital Extension).
"Kerajaan negeri berharap supaya perkara-perkara di atas dipersetujui dan diluluskan oleh MKN, dan pelaksanaan berkuatkuasa serta merta sehingga 16 Oktober 2020.
"Semua rakyat Negeri Sabah diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan dinasihatkan untuk memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan penuh tanggungjawab," kata Hajiji.
Sabah adalah salah satu negeri yang paling teruk dilanda gelombang terbaru Covid-19.
Menurut Hajiji, terdapat 1,206 orang yang dirawat di Sabah sehingga semalam.
Jawatankuasa itu telah membuat cadangan ini setelah Sabah mencatat tiga digit kes baru berturut-turut antara 1 Oktober hingga semalam.