Paling Popular
Terkini

Bekas menteri Wilayah Persektuan Tengku Adnan Tengku Mansor mungkin sudah menyelesaikan tuntutan saman dikemukakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui persetujuan bersama baru-baru ini.

Jika keadaan itu berlaku ia menyaksikan Tengku Adnan hanya perlu membayar sebanyak RM40.3 juta kepada LHDN.

Pada 23 Sept lalu Tengku Adnan dilaporkan sudah menyelesaikan saman LHDN kepadanya - bernilai RM57.17 juta - namun peguam defendan, S Saravana Kumar enggan mendedahkan jumlah perintah persetujuan yang direkodkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Jumlah RM40.3 juta itu tercatat pada salinan draf perintah persetujuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Sept lalu

Jumlah itu hampir RM17 juta lebih rendah berbanding apa yang dituntut LHDN pada peringkat awal mereka mengambil tindakan ke atas bekas setiausaha agung Umno berkenaan.

Menurut salinan draf perintah persetujuan itu, Tengku Adnan dan LHDN bersetuju meminda notis taksiran tambahan untuk tahun 2012 hingga 2017 dengan nilai keseluruhan RM40,358,336.61.

Dokumen mahkamah menyatakan pecahan pindaan taksiran tersebut sebagai:

  • 2012: RM53,872 2012
  • 2013: RM4,182,392.03
  • 2014: RM6,285,357.26
  • 2015: RM6,537,624.73
  • 2016: RM3,524,071.10
  • 2017: RM19,775,019.49.

Dinyatakan juga penilaian tersebut berjumlah RM40.3 juta termasuk penalti yang membentuk jumlah penyelesaian cukai dituntut LHDN.

"Pihak-pihak (yang berkenaan) akan membincangkan dalam tempoh 45 hari dari tarikh perintah persetujuan ini mengenai cara pembayaran.

"Penyelesaian ini akan dibayar sebelum 31 Dis 2020," kata dokumen berkenaan.

Dokumen itu juga menyatakan plaintif (LHDN) dan defendan (Tengku Adnan) akan menarik balik semua permohonan interlokutori yang dibuat melalui prosiding sivil berkenaan.

"Tidak ada perintah mengenai kos," katanya.

Draft perintah persetujuan itu - bertarikh 23 Sept - kelihatan bertanda dengan pindaan-pindaan yang dipersetujui dan dinyatakan sebagai "Draf diluluskan seperti dipinda."

Ia juga ditandatangani peguam kedua-dua pihak serta timbalan pendatar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi peguam firma guaman Messrs Satha & Co yang mewakili Tengku Adnan untuk mendapatkan komen.

Pada 1 Ogos tahun lalu portal berita ekonomi The Edge melaporkan kerajaan mengemukakan saman cukai ke atas Tengku Adnan kerana didakwa tidak menjelaskan cukai pendapatannya melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN juga mendakwa disebabkan Tengku Adnan gagal menjelaskan cukai pendapatan 2012 hingga 2017 itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis berkenaan difailkan, dia juga dikenakan faedah sebanyak 10 peratus daripada jumlah tersebut.

Ekoran kegagalan plaintif melunaskan bayaran itu dalam tempoh 60 hari, dia dikenakan daedah tambahan sebanyak 5 peratus lagi.

Tindakan undang-undang tersebut mendakwa pembayaran cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh Tengku Adnan - termasuk tambahan tersebut - erjumlah RM57,167,069.35.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS