Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semasa mula bekerja di pejabat menteri, saya difahamkan bahawa akan berlaku sedikit kelewatan dalam urusan memproses pelantikan pegawai-pegawai khas menteri, maka akan berlaku kelewatan kemasukan gaji selama sebulan.

Hendak dijadikan cerita pula waktu itu saya juga bakal menimang cahaya mata pertama. Jadi tak tidurlah beberapa malam memikirkan perkara ini.

Mengetahui situasi ini, mendiang meminjamkan wang kepada saya dan selepas gaji dah masuk, saya berniat untuk membayar balik.

Tetapi mendiang memberitahu saya bahawa wang yang “dipinjamkan” itu adalah hadiah untuk membeli kelengkapan asas untuk anak saya dan tidak perlu untuk saya membayarnya kembali.

Secara jujurnya, saya tidak mengenali mendiang sebelum bekerja sebagai pegawai khas beliau dan menjadi tradisi bahawa jawatan ini tidak dipaparkan di Jobstreet atau diketahui umum, sebaliknya melalui words of mouth.

Juga menjadi tradisi, jawatan-jawatan di pejabat menteri diisi oleh mereka yang mempunyai karier dan cita-cita politik. Dan saya adalah exception untuk tradisi tersebut.

Tetapi mendiang tidak melihat ini sebagai satu alasan untuk tidak menerima saya dalam “pasukan” beliau selepas saya menghadiri sesi temuduga dengan beliau di pejabatnya di parlimen.

Kekurangan saya dalam selok-belok politik tidak menjadi penghalang untuk mendiang memberi tugasan dan kepercayaan kepada saya untuk membantu beliau melaksanakan agenda reformasi undang-undang di negara ini.

Hal ini juga dapat dilihat dengan keterbukaan mendiang untuk bertemu dengan NGO dan CSO yang ada di Malaysia untuk melaksanakan agenda ini.

Sikap terbuka ini membolehkan saya untuk memberi akses sebanyak yang mungkin untuk mana-mana pihak bertemu dengan beliau bagi membincangkan agenda reformasi undang-undang di negara ini.

Satu contoh yang tidak saya lupakan apabila sedang trending isu bunuh diri di Malaysia dan apabila saya terbaca kenyataan Adun Subang Jaya, Michelle Ng berkaitan perkara ini, saya terus menghubungi beliau dan mengatur pertemuan dengan mendiang.

Hasil pertemuan itu, mendiang bersetuju menjadikan cadangan decriminalisation of attempted suicide sebagai agenda reformasi undang-undang.

Mesyuarat serta perbincangan susulan diadakan bersama pejabat peguam negara dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Sudah pastinya isu yang sinonim dengan mendiang adalah cadangan memansuhkan hukuman mati di negara ini dan kesungguhan serta komitmen beliau menjadikannya realiti adalah sesuatu yang sangat mengagumkan saya.

Beliau sering memberitahu saya bahawa ini adalah keputusan kolektif yang dibuat oleh kabinet dan sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang di negara ini, beliau perlu menggalas amanah ini walaupun ia “sukar” dan berpotensi untuk membunuh karier politik.

Keseriusan mendiang melaksanakan tanggungjawab ini dapat saya lihat sewaktu beliau lantang mengkritik keputusan negara jiran melaksanakan hukuman gantung ke atas warganegara Malaysia.

Ketika saya mengikuti beliau menghadiri International Meeting of justice ministers on a world without the death penalty conference, yang mendiang bersungguh-sungguh menyiapkan nota ucapannya hingga lewat malam.

Mendiang juga tidak keberatan untuk menghadiri sesi perbincangan dan diskusi bersama NGO dan individu yang mempunyai cadangan serta pandangan berkaitan isu ini.

Hal yang sama juga dapat dilihat dalam perkara-perkara lain seperti pindaan Perlembagaan Perkara 1(2), pengisytiharaan harta ahli-ahli parlimen.

Dedikasi dan komitmen beliau dalam melaksanakan agenda reformasi undang-undang ini tidak dapat dinafikan malah diiktiraf oleh semua pihak yang turut serta dalam agenda ini.

Agenda reformasi undang-undang tidak lengkap jika proses pelaksanaannnya tidak berfungsi dengan baik.

Justeru, mendiang juga telah melaksananakan inisiatif untuk melawat mahkamah di Malaysia untuk mengenal pasti isu-isu yang dihadapi.

Ini bagi memastikan urusan di mahkamah dan proses keadilan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.

Saya titipkan di sini gambar yang mengandungi beberapa agenda reformasi undang-undang yang telah berada dalam perancangan mendiang sebelum saya bertukar kerja (gambar paling atas).

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dalam usaha mereformasikan agenda undang-undang di negara ini.

Kesungguhan dan komitmen mendiang membuktikan bahawa beliau benar-benar ikhlas dan serius dalam menjalankan tugas sebagai menteri (dan tidak perlu dijaja dalam rekod pencapaiannya sebagai ikon kementerian).

Terima kasih juga kepada keluarga mendiang kerana tidak mempunyai sebarang bantahan tatkala mendiang menerima saya sebagai salah seorang pegawainya.

(Ada khabar angin bahawa ada menteri di Malaysia ini yang pegawainya perlu “ditapis” oleh isteri. Maka, tak hairan juga kalau ada menteri yang membawa isteri masuk mesyuarat rasmi bersama).

Kenangan pahit manis bersama mendiang akan saya ingati sehingga ke akhir hayat.

Terima kasih Liew Vui Keong. Selamat berehat dan semoga kita bertemu semula di negeri abadi kelak.


ZHARIF BADRUL adalah bekas pegawai khas kepada mendiang Liew Vui Keong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS