Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan dua lagi kluster baru Covid-19 iaitu Kluster Kau Sing di Tawau, Sabah dan Kluster Embun di Hulu Langat, Selangor.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks bagi Kluster Kau Sing ialah kes ke-10,755 melibatkan seorang individu warganegara berumur 29 tahun yang dikesan positif melalui saringan individu bergejala pada 25 Sept lepas.
“Susulan itu saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Daripada tujuh kes yang dikesan positif, lima individu merupakan warganegara, manakala dua lagi merupakan bukan warganegara.
“Kesemua mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan perkembangan pandemik Covid-19 hari ini.
Sementara itu bagi Kluster Embun yang dikenal pasti di Hulu Langat pula, Dr Noor Hisham berkata lima individu didapati positif Covid-19 dan kesemuanya melibatkan warganegara.
"Bagi Kluster Embun melibatkan kes indeks kluster ini ialah kes ke-11,147 melibatkan seorang lelaki warganegara berumur 41 tahun yang dikesan positif melalui saringan individu bergejala pada 29 Sept.
"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat lagi kes positif dikenal pasti. Kesemua mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan bagi Kluster Kau Sing dan Kluster Embun masih dalam siasatan.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.