Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AirAsia, Malindo tawar tukar tarikh penerbangan pada pelajar terjejas
Diterbitkan:  Oct 4, 2020 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Syarikat penerbangan AirAsia Berhad dan Malindo Air menawarkan penukaran tarikh penerbangan susulan penangguhan pendaftaran dan orientasi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam pada saat akhir.

Menurut notis pemberitahuan AirAsia, syarikat penerbangan tambah murah itu menawarkan kemudahan pertukaran tarikh tanpa had sebelum 31 Disember 2020 di laluan yang sama tanpa bayaran tambahan, yang tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk dan untuk pelajar dan ibu bapa.

“Kerjasama AirAsia Berhad membantu institusi pengajian tinggi yang terjejas dengan penangguhan pendaftaran secara bersemuka,” menurut notis itu.

Sementara itu, Malindo Air dalam notisnya memberitahu bahawa pelajar yang terjejas boleh mendapatkan pengecualian fi penukaran tarikh.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada perbezaan tambang.

Kedua-dua notis pemberitahuan itu dikongsi dalam Facebook Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

“Pelajar boleh hubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan cara-cara mengemukakan maklumat bagi tujuan ini,” menurut kedua-dua notis itu.

Baru-baru ini, KPT mengumumkan bahawa pihaknya menggalakkan universiti awam untuk menangguhkan sebarang pendaftaran fizikal susulan lonjakan jumlah kes Covid-19.

Pengumuman saat akhir itu mengundang kecaman dan kekecewaan banyak pihak terutamanya di kalangan pelajar IPT kerana ramai yang telah tiba di kampus sebelum pengumuman itu dibuat.

Ia menyebabkan beberapa parti politik dan orang awam tampil memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang perlu pulang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS