Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usaha VK Liew sepanjang 22 bulan sebagai menteri undang-undang
Diterbitkan:  Oct 3, 2020 6:36 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai menteri undang-undang ketika pentadbiran PH, Liew Vui Keong - yang meninggal dunia semalam ketika berusia 60 tahun - mempunyai misi iaitu melaksanakan beberapa pembaharuan undang-undang.

Daripada nyah jenayah penagihan dadah dan percubaan bunuh diri kepada reformasi institusi polis dan hak asasi manusia, usaha ke arah pembaharuan tersebut berjalan serentak.

Bagaimanapun kebanyakan inisiatif terhenti di tengah jalan apabila pentadbiran PH tumbang setelah 22 bulan, susulan keluarnya Bersatu daripada gabungan itu dan keluarnya 10 anggota Parlimen PKR yang diketuai Azmin Ali dari parti itu.

Berikut adalah beberapa pembaharuan dan inisiatif perundangan signifikan yang dibuat sepanjang 22 bulan mendiang memegang jawatan itu:

1. Menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik

Walaupun Liew bukan satu-satunya yang bertanggungjawab dalam menurunkan umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen, dia memainkan peranan penting dalam memastikan proses perundangan di Dewan Rakyat.

Kabinet PH setuju untuk meminda Perlembagaan sebaik sahaja mentadbir negara pada Mei 2018. Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Rang Undang-undang akhirnya dibentangkan pada Julai 2019 dan diluluskan pada bulan sama - dengan sokongan sebulat suara daripada anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Pendaftaran pengundi automatik juga dimasukkan di dalamnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka melaksanakan perubahan umur itu pada pertengahan 2021. Ia bakal membolehkan seramai 3.8 juta lagi warga Malaysia mengundi pada 2023.

2. Kedudukan Sabah dan Sarawak yang sama rata

Liew juga menyelia proses perundangan untuk pindaan Perlembagaan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak di kedudukan sama rata dengan Semenanjung Malaysia. Ia dilakukan dengan membatalkan pindaan 1976 yang meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri.

Bagaimanapun, pindaan ini memerlukan majoriti dua pertiga dan ia tidak dapat diteruskan kerana kurang sepuluh undi.

Tiada anggota Parlimen yang mengundi membantah RUU tersebut. Bagaimanapun pembangkang pada masa itu mengambil pendirian berkecuali kerana mahukan lebih banyak perubahan dalam pindaan.

3. Pemansuhan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018

Akta ini diwartakan sebaik sebelum PRU 2018 oleh pentadbiran BN, di saat skandal 1MDB yang mengaitkan Najib Razak - perdana menteri pada masa itu - mendapat perhatian antarabangsa.

Terdapat kebimbangan Najib akan menggunakan undang-undang itu untuk menutup dakwaan terhadapnya sebagai "berita palsu". Bagaimanapun BN tumbang pada PRU 2018.

Najib pula dihadapkan dengan pertuduhan berkaitan skandal tersebut.

Pemansuhan akta tersebut diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos 2018 tetapi ditolak Dewan Negara sebulan kemudian.

Bagaimanapun, berdasarkan prosedur Dewan Negara hanya boleh menangguhkan RUU yang telah lulus di peringkat Dewan Rakyat selama sebulan. Ia dibentang semula pada Oktober 2019 dan lulus di kedua-dua peringkat.

4. Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC)

Liew turut menyelia pembentangan RUU IPCMC di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2019.

Ia boleh dianggap bersejarah memandangkan selama 14 tahun seruan penubuhan suruhanjaya itu tidak disahut pentadbiran sebelumnya atas kebimbangan ia menimbulkan rasa tidak puas hati pasukan polis.

RUU itu tidak terus dibentang untuk bacaan kedua kerana Liew meneruskan rundingan dengan pemegang taruh yang memberi maklum balas terhadap kandungannya.

Ia dijadual dibentang pada sidang pertama Parlimen tahun ini tetapi tidak diteruskan setelah pentadbiran PH tumbang akhir Februari lalu.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggantikannya dengan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang jauh lebih lemah. Ia dijangka diluluskan pada sidang Parlimen November ini.

5. Hukuman mati, nyah jenayah percubaan bunuh diri dan lain-lain

Liew yang merupakan seorang peguam juga membawa beberapa lagi RUU melibatkan pembaharuan undang-undang.

Antaranya ialah pemansuhan hukuman mati mandatori yang akan meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa tetapi sesuatu yang tidak popular di sini.

Walaupun dengan bantahan, dia tetap tekal dalam isu itu. Liew menceritakan bagaimana seorang saudaranya pernah dibunuh tetapi dia tetap yakit hukuman mati bukanlah jawapannya.

Bagaimanapun dia tetap membuat sesi libat urus dan proses rundingan yang panjang.

Proses yang panjang juga bermakna ia tidak dapat dilaksanakan dengan tumbangnya pentadbiran PH.

Usaha perundangan lain yang telah berjalan seperti nyah jenayah penagihan dadah dan cubaan bunuh diri, RUU kebebasan maklumat dan RUU dana politik juga tidak dapat dibentang mengikut jadual.

Selain itu, Liew turut memastikan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2019 - kali pertama sejak 20 tahun.

Hari ini, Suhakam menyifatkan mereka kehilangan pendorong dengan kematian Liew.

Liew menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kota Kinabalu akibat jangkitan paru-paru.

Dia meninggalkan isteri Dr Lindai Lee dan empat anak.

Mendiang ditempatkan di wad hospital berikutan masalah slip disc dan dilaporkan koma selepas mendapat jangkitan di paru-paru.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS