Bukan semua individu yang disahkan positif Covid-19 setelah pulang dari Sabah adalah ahli politik, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri berhubung Covid-19 di Putrajaya hari ini, Ismail berkata ahli perniagaan dan pelancong juga termasuk dalam statistik mereka yang disahkan positif di negeri lain setelah kembali dari Sabah.
"Ramai yang menyalahkan ahli politik. Saya nak maklumkan bahawa jumlah yang pulang dari Sabah dan yang telah pun buat saringan (sebaik ketibaan) adalah sekitar 13,000 orang.
"(Daripada jumlah itu) 130 lebih yang didapati positif, iaitu satu peratus daripada jumlah mereka yang kembali dari Sabah," katanya.
Katanya lagi, banyak pihak yang panik dengan perkembangan itu seolah-olah separuh daripada mereka yang kembali dari Sabah telah didapati positif.
Sedangkan katanya, hanya 132 kes yang positif termasuk pelancong dan kalangan yang ke Sabah disebabkan tugasan kerja.
"Dari lebih 130 orang (yang positif), tidak semuanya adalah ahli politik. Jadi, ini bukan semata-mata ahli politik," katanya lagi.
Ismail berkata demikian ketika mengulas kemarahan masyarakat di media sosial yang menyalahkan ahli politik kerana didakwa bertanggungjawab atas lonjakan jumlah kes positif Covid-19 baru-baru ini.
Ia setelah Kementerian Kesihatan memaklumkan kes harian tinggi selama dua hari berturut-turut, iaitu pada Khamis (260 kes) dan Jumaat (287 kes).
pada hari Khamis (260 kes) dan Jumaat (287).
Jumlah pada hari Jumaat adalah yang tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
SOP baru untuk menteri ke luar negara
Sementara itu, Ismail berkata mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan perdana menteri hari ini turut membuat beberapa keputusan berhubung langkah mengekang penularan Covid-19.
Antaranya adalah prosedur operasi standard (SOP) baru buat pemimpin yang ke luar negara atas tujuan kerja.
Menurutnya, kerajaan memutuskan untuk membenarkan pemimpin ke luar negara atas itu berkaitan kepentingan negara tetapi mereka perlu menjalani kuarantin 14 hari selepas kembali.
"Sesiapa pun tidak terkecuali," katanya.
Bagi delegasi luar yang datang ke Malaysia atas urusan rasmi, kerajaan hanya membenarkan kemasukan delegasi yang diketuai pegawai berpangkat sekurang-kurangnya menteri.
Mereka tidak perlu menjalani kuarantin 14 hari tetapi perlu membuat ujian sebanyak dua kali - pertama tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan kemudian sebaik tiba.
Mereka juga dilarang ke tempat lain selain lokasi untuk urusan rasmi mereka.
"Jika mereka datang untuk mesyuarat, terus dibawa ke tempat mesyuarat dan setelah selesai, terus balik."
Jangan sebar maklumat peribadi
Menteri pertahanan itu juga memberi peringatan berhubung amalan menyebarkan maklumat peribadi melibatkan individu yang didakwa positif Covid-19.
Dia berkata demikian ketika diminta mengesahkan jika seorang timbalan menteri telah dijangkiti wabak itu, seperti dilaporkan media hari ini.
Katanya, amalan tersebut bertentangan dengan kerahsiaan peribadi dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
"Kita tak boleh kongsi data peribadi. Saya tak faham akhir-akhir ini banyak keluar gambar, nama yang bukan dari Kementerian Kesihatan (KKM). KKM tak akan keluarkan (maklumat seumpama itu).
"Ada (yang disebarkan) malah tak betul," kataya lagi.
Ismail berkata begitu juga dengan senarai individu yang menjadi kontak rapat pesakit positif yang menurutnya hanya ditentukan oleh Kementerian Kesihatan.
Dia juga mengumumkan kerajaan memutuskan untuk meningkatn kawalan sempadan di pantai timur Sabah.
Katanya, keputusan itu memandangkan pendatang asing tanpa izin (pati) yang menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di sana.
"Hari ini mesyuarat setuju tambah anggota keselamatan dan aset sama ada dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memperkasakan lagi kawalan di pantai timur Sabah melalui Op Benteng.
"...Supaya dapat halang kemasukan pati khususnya melalui 'lorong-lorong tikus'," katanya.