Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam kehilangan pendorong dengan pemergian Liew
Diterbitkan:  Oct 3, 2020 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan kematian bekas menteri di jabatan perdana Menteri Liew Vui Keong sebagai kehilangan pendorong kepada badan itu.

Dalam satu kenyataan, Suhakam berkata mendiang adalah individu yang komited dalam merealisasikan hak asasi manusia dengan mendorong pelbagai pembaharuan undang-undang.

"Termasuk, antara lain, pemansuhan hukuman mati mandatori, pengenalan undang-undang baru mengenai hak kepada maklumat dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Dalam hal ini, ia merupakan satu penghormatan buat Suhakam kerana dapat bekerjasama rapat dengan beliau dalam perkara- perkara yang dinyatakan di atas.

"Beliau juga menyedari akan perlunya kesedaran hak asasi manusia terutamanya di Parlimen," kata Suhakam dalam satu kenyataan, hari ini.

Liew meninggal dunia pada 11.50 pagi semalam di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu dipercayai akibat jangkitan pada paru-paru.

Mendiang sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tenat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.

Liew, 60, yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi undang-undang serta merupakan Pengerusi Tetap Warisan.

Liew, yang juga seorang peguam, meninggalkan balu iaitu Dr Lindai Lee dan empat orang anak.

Sementara itu, Suhakam berkata Liew telah merealisasikan harapan suruhanjaya itu selama 20 tahun agar laporan tahunannya dibahaskan di Parlimen.

"Laporan tahunan Suhakam 2018 telah dibahaskan di Parlimen pada 5 Disember 2019 buat pertama kali sejak 1999 dan ini merupakan satu kejayaan besar dalam usaha berterusan Suhakam untuk mengetengahkan isu-isu hak asasi manusia yang mendesak di negara ini.

"Suhakam merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang beliau. Pada masa yang sama, Suhakam turut menekankan semula komitmennya untuk terus mendorong pembaharuan hak asasi manusia yang dimulakan oleh beliau," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS