Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sekatan AS jejas pendapatan peneroka Felda, pekebun kecil
Diterbitkan:  Oct 3, 2020 11:01 AM
Dikemaskini: 3:01 AM

Pendapatan peneroka Felda akan terjejas susulan sekatan Amerika Syarikat terhadap produk sawit keluaran Malaysia, kata Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil (PKPKM).

Menurut Timbalan Presiden PKPKM Adzmi Hassan, majoriti peneroka Felda bergantung kepada Felda Global Ventures (FGV) dengan menghantar buah tandan segar (BTS) ke kilang-kilang syarikat itu

“Tindakan AS ini akan memberikan impak negatif kepada lebih 32,000 orang ahli PKPKM terdiri daripada peneroka Felda, serta lebih 100,000 orang peneroka Felda terutamanya daripada aspek pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AS baru-baru ini dilaporkan telah menyekat import minyak sawit dari FGV atas tuduhan bahawa syarikat itu menggunakan tenaga buruh paksa dalam proses pengeluaran.

Pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia itu telah lama berdepan tuduhan dari beberapa NGO antarabangsa bahawa pekerja asing di ladang FGV bekerja dalam keadaan yang teraniaya.

Bagaimanapun, Adzmi menafikan tuduhan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.

“Tuduhan CBP adalah tidak berfakta, terutamanya berkenaan penggunaan buruh kanak-kanak kerana peneroka secara berkelompok telah disijilkan dibawah Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di mana di bawah MSPO, isu-isu yang dibangkitkan tidak berlaku kerana kebanyakan peneroka mengusahakan kebun mereka sendiri”, katanya.

Malah katanya, Malaysia aktif dalam melaksanakan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) kepada semua peringkat industri termasuk syarikat FGV.

“FGV tertakluk kepada pensijilan MSPO yang dilaksanakan kerajaan Malaysia, di mana pelaksanaan MSPO merangkumi jaminan semua aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial yang berkait rapat dengan kebajikan pekerja dan penggunaan buruh.

“Oleh itu, semestinya FGV perlu akur dan menuruti arahan yang dikeluarkan kerajaan”, katanya.

Dia turut meminta supaya AS mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan buruh paksa oleh FGV sebelum mengambil tindakan drastik sedemikian.

“Kami khuatir tindakan ini akan lebih menjejaskan nama baik Malaysia terutamanya dalam usaha membantah kempen anti minyak sawit yang dilaksanakan Kesatuan Eropah,” katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC),Chew Jit Seng turut menyuarakan perkara yang sama berhubung kesan larangan AS itu.

Menjelaskan dakwaan itu, Chew berkata ia menjadi norma budaya dalam komuniti Asia dan Malaysia di luar bandar, apabila anak-anak menemani ibu bapa atau penjaga mereka di tempat kerja dalam sektor pertanian selepas waktu sekolah atas alasan keselamatan sosial, terutamanya jika kedua-dua ibu bapa bekerja pada waktu dan tempat yang sama.

“Dalam keadaan ini, mereka mungkin ingin membantu ibu bapa mereka mengutip buah sawit relai, dan ini tidak boleh dianggap sebagai buruh paksa atau buruh kanak-kanak yang tidak dibenarkan di bawah Akta Pekerjaan 1955 dan ditegaskan lagi dalam Akta 670,” katanya dalam satu kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS