Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian dikecam kerana umum tangguh pendaftaran pelajar saat akhir
Diterbitkan: ย Oct 3, 2020 9:55 AM
โ‹…
Dikemaskini: 3:32 AM

Keputusan pada saat-saat akhir untuk menangguhkan proses pendaftaran dan orientasi bagi pelajar universiti awam baru telah mencetuskan kemarahan dan kekecewaan selepas banyak pelajar telah tiba di kampus.

Kementerian Pengajian Tinggi semalam mengumumkan bahawa pihaknya menggalakkan universiti awam untuk menangguhkan sebarang pendaftaran fizikal susulan lonjakan jumlah kes Covid-19.

Perkara sama untuk pelajar baru dan lama.

"Bagi pelajar yang sudah tiba dan mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh terus berada di kampus masing-masing. Universiti awam diminta membantu keperluan pelajar yang memerlukan pertolongan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Namun, tidak semua pelajar yang tiba di kampus dan harus membuat perjalanan pulang.

Sebilangan besar pelajar menyatakan kekecewaan mereka di laman Facebook Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.

"Kenapa suka buat kenyataan last minute dan U-turn menyusahkan student ni datuk? Tahu tak berapa banyak duit parent dan student kena burn," kata Abraham Amin.

"Dah sampai dari Johor ke Kelantan baru tahu. Kesian lah kami...semua dah siap....banyak duit kami habis nak masuk sekolah anak. Fikirlah sikit perasaan kami ibu bapa ni," kata Noorizwanie Jamil.

"Jangan jadi bodoh. Ini bukan pertama kali anda susahkan ramai pelajar dan ibu bapa dengan pengumuman saat akhir. Ingat ni gimik ke?" katanya Hani Abd Latif.

Pengumuman saat akhir itu menyebabkan beberapa parti politik tampil memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang perlu pulang.

Muda, sebuah parti berasaskan anak muda yang baru ditubuhkan mengumpulkan lebih daripada RM50,000 untuk membantu pelajar yang terkandas.

 

"Muda sedar masalah yang dihadapi mahasiswa disebabkan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi yang tidak punya prosedur jelas dan lambat.

"Muda berkongsi keluhan dari anda semua yang perlukan bantuan," kata parti itu ketika melancarkan kempen kutip derma bagi membantu pelajar yang terkandas.

Kempen itu mencapai sasaran selepas tiga jam dilancarkan.

"Proses pembayaran sumbangan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan akan bermula esok.

"Sudah pasti kami akan berkongsi kepada semua bagaimana sumbangan anda diberikan kepada penerima. Terima kasih sekali lagi!" katanya.

Bersatu digesa tangani isu dalam kerajaan

Sementara itu, Pemuda Bersatu mengumumkan pasukan petugas khas untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan.

"Task force ini akan melapor terus kepada Ketua Armada Nasional dan bertindak segera untuk mengesan dan menyampaikan bantuan awal kepada mahasiswa yang terkandas dengan menyediakan bantuan bekalan makanan selain mengenal pasti sebarang bantuan lain yang dapat disalurkan atau diusahakan, termasuk samada perlu menghantar semula mahasiswa pulang ke kampung halaman ataupun bagi tujuan penempatan," kata Ketua Biro Pendidikan Pemuda Bersatu Muhammad Zikri Zulkifli dan Ketua Biro Kebajikan Pemuda Bersatu Firdaus Rashid dalam kenyataan bersama.

Ia menyediakan senarai orang hubungan di setiap negeri untuk pelajar yang terkandas.

TASK FORCE ARMADA BANTU MAHASISWA TERKANDAS Merujuk kepada kenyataan Ketua Armada Nasional, YB Senator Wan Ahmad...

Posted by Armada Bersatu Malaysia on Friday, 2 October 2020

 

Sementara itu, beberapa wakil rakyat DAP termasuk wakil rakyat Kampung Tunku, Lim Yi Wei, Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim juga menawarkan bantuan kepada pelajar yang terkandas.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dalam satu kenyataan, mengatakan bahawa pihaknya komited untuk membantu pelajar yang terkandas dan juga bekerjasama dengan Pemuda Bersatu untuk tujuan ini.

Namun, dia menggesa Pemuda Bersatu, sebagai sayap sebuah parti dalam kerajaan, untuk mengetengahkan masalah ini secara langsung dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

 

"Bukankah sepatutnya para menteri dan timbalan menteri dari Pemuda Bersatu dan Bersatu, membawa isu ini ke peringkat jemaah menteri, untuk diselesaikan menggunakan seluruh jentera dan tenaga Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mana-mana Kementerian serta agensi kerajaan yang berkebolehan dan berkemampuan?

"Sekiranya parti kerajaan terpaksa menggunakan jentera parti untuk menyelesaikan masalah ekoran kegagalan dasar dan/atau perlaksanaan dasar kerajaan, bukankah ia bermaksud kerajaan dan parti tersebut kedua-duanya gagal?" katanya.

Untuk rekod, Wan Ahmad Fayhsal juga merupakan timbalan menteri belia dan sukan.

Penulis, Hanna Alkaf, yang juga merupakan penggerak kempen #KitaJagaKita yang menyusun pelbagai inisiatif bantuan berasaskan komuniti semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), mengatakan bahawa dia juga akan menyusun senarai serupa untuk membantu pelajar.

"Kita melihat apa yang berlaku dengan #SiswaJagaSiswa dan #KitaJagaKita akan menyusun dan mengesahkan senarai hari ini hanya untuk memastikan anda mempunyai senarai sumber yang dipercayai," katanya di Twitter.

 

Ini bukan kali pertama Kementerian Pengajian Tinggi dikritik selepas dikatakan menyebabkan kekeliruan di kalangan pelajar.

Pada Mac, arahan yang mengelirukan antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara menyebabkan pelajar bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai penutupan kampus ekoran Covid-19.

Kementerian Pengajian Tinggi kemudiannya mengambil keputusan membenarkan pelajar tinggal di kampus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS