Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun gesa pasangan warga asing dibenar bantu di gerai

Kerajaan Selangor digesa membenarkan pasangan kepada penjaja untuk turut sama membantu kerja di pasar.

Menurut Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, beberapa penjaja di Petaling Jaya mengadu kepadanya memandangkan pasangan mereka tidak dibenarkan bekerja di gerai mereka.

Pasangan mereka dikategorikan sebagai bukan warga oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) walaupun mereka berstatus penduduk tempatan yang memiliki kad pengenalan merah.

Rajiv berkata enam penjaja pasar basah seksyen 14 dan Jalan Othman di Petaling Jaya meminta bantuannya.

Ketika kunjungan Malaysiakini di sebuah pasar di Petaling Jaya, seorang penjaja, Becky (bukan nama sebenar) berkata suaminya - seorang pemegang kad pengenalan merah - telah tinggal di Malaysia selama 30 tahun.

Mereka berkahwin 19 tahun lalu dan memiliki empat orang anak. Sejak 17 tahun lalu, mereka bersama-sama mengendalikan perniagaan di pasar.

Bagaimanapun, dua bulan lalu, penguatkuasa mula mengambil tindakan lebih tegas dan suaminya tidak lagi boleh membantu kerana bimbang dikenakan tindakan.

Sejak itu, dia terpaksa mengendalikannya secara sendiri dan itu telah menjejaskan perniagaannya.

"Saya kena buat semua sendiri, tergesa-gesa jika perlu makan atau ke tandas. Sebagai peniaga, pastinya saya bimbang (bila tiada orang menjaga gerai)."

Sukar urus seorang diri

Menurut Presiden Persatuan Pasar Jalan Othman N Rajaratnam, sekurang-kurangnya 10 peniaga yang berdepan masalah sama di pasar itu.

Masalah mereka bertambah apabila turut tidak dibenarkan mengambil warga asing sebagai pekerja, katanya.

N Rajaratnam

Dalam pada itu, Rajiv berkata lesen yang diluluskan kerajaan negeri menyatakan mereka dilarang mengabil warga asing sebagai pekerja dan penguatkuasaan MBPJ dibuat berdasarkannya.

Katanya, banyak gerai dikendalikan pasangan suami isteri, di mana salah seorang menjadi tukang masak dan seorang lagi melayan pelanggan.

Selain itu, katanya, lagi dengan pendapatan antara RM50 hingga RM100 sehari, kebanyakannya tidak mampu mengambil pekerja yang rata-ratanya menelan kos RM80 sehari.

Perlu lebih anjal

Mengambil maklum tentang larangan mengambil pekerja asing, Rajiv berpandangan pasangan yang bukan warga adalah berbeza dan kerajaan negeri perlu lebih anjal.

"Saya katakan ini kes berbeza untuk pasangan berkahwin. Mereka adalah keluarga, walau pasangan dari negara lain.

"Mereka bukan berada di sini sebulan dua atau setahun, tetapi sudah begitu lama," katanya.

Rajiv

Justeru, dia mencadangkan agar kerajaan Selangor meminda syarat yang dikenakan untuk lesen penjaja agar membenarkan kalangan bukan warga untuk membantu pasangan mereka.

Katanya, dia telah membawa perkara itu kepada Menteri Besar Amirudin Shari dan Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

"Mereka tak berkata tidak. Mereka sedang menimbangnya," katanya lagi.

Ketika dihubungi, Rodziah berkata walaupun pasangan warga asing dilarang bekerja di gerai, mereka dibenarkan membantu tetapi hanya jika suami atau isteri mereka ada bersama.

"Bantu, bukan kerja. Contohnya angkat dan susun barang, tetapi bukan setiap masa dan sebagai pekerja."

Katanya lagi, agensi penguatkuasa akan memutuskan sama ada mereka bekerja atau hanya membantu pasangan.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas Amirudin berkenaan perkara ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS