Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guru positif Covid-19, sekolah rendah tutup sementara
Diterbitkan:  Oct 2, 2020 9:46 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus ditutup sementara mulai hari ini setelah seorang gurunya disahkan positif Covid-19, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata aktiviti disinfeksi secara menyeluruh di sekolah itu akan dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu.

"Seramai 62 pelajar, 23 guru dan lima kakitangan sokongan yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit telah menjalani ujian saringan pada 1 Okt dan diletakkan di bawah perintah pengawasan serta dikuarantin," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini Terengganu telah merekodkan tiga kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 11 kes aktif di negeri itu.

Dr Nor Azimi (gambar, bawah) berkata satu daripada kes baru itu mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah manakala dua kes lagi adalah kontak rapat kepada pesakit yang juga baru pulang dari Sabah.

"Kesemua 11 kes aktif ini telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu bagi rawatan dan pengasingan.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan, elakkan berada dalam kelompok ramai dan patuhi prosedur operasi standard serta amalkan kebiasaan baru yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Beliau berkata individu yang baru pulang dari Sabah atau mana-mana zon merah dalam tempoh 14 hari lepas diminta bersikap jujur dan bertanggungjawab dengan hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan di Terengganu bagi menjalani penilaian risiko Covid-19 oleh anggota kesihatan.

"Orang ramai juga diingatkan untuk meningkatkan kawalan kendiri dan tidak berasa selesa atau alpa kerana terdapat risiko jangkitan Covid-19 dalam komuniti serta sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang sedang berkuat kuasa sehingga 31 Dis 2020," katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS