Larangan terhadap import minyak sawit bukan sahaja memberi kesan kepada entiti yang terlibat, tetapi dari segi realitinya, langkah itu akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil dan peneroka, menurut Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).
Mengenai larangan import minyak sawit oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah syarikat perladangan baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif MPOCC Chew Jit Seng berkata menjadi norma budaya dalam komuniti Asia dan Malaysia di luar bandar, apabila anak-anak menemani ibu bapa atau penjaga mereka di tempat kerja dalam sektor pertanian selepas waktu sekolah atas alasan keselamatan sosial, terutamanya jika kedua-dua ibu bapa bekerja pada waktu dan tempat yang sama.
“Dalam keadaan ini, mereka mungkin ingin membantu ibu bapa mereka mengutip buah sawit relai, dan ini tidak boleh dianggap sebagai buruh paksa atau buruh kanak-kanak yang tidak dibenarkan di bawah Akta Pekerjaan 1955 dan ditegaskan lagi dalam Akta 670,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chew menyatakan kebimbangan bahawa larangan oleh AS itu akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil dan peneroka yang bekerja keras di tanah yang kecil untuk menyara hidup mereka.
Malah, katanya penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk pihak berkepentingan yang berkaitan untuk berbincang dengan penggiat industri dan agensi pengawalseliaan bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan, serta mencari penyelesaian yang realistik dan mampan.
“MPOCC akan terus memantau perkembangan dakwaan ini selain menyumbang secara proaktif ke arah penyelesaian yang strategik untuk menyelesaikan isu buruh dalam industri minyak sawit.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membina semula reputasi sektor minyak sawit,” katanya, sambil menambah di bawah skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang wajib secara menyeluruh dalam industri, terdapat keperluan yang jelas dan kuat mengenai hak, kesihatan dan keselamatan pekerja serta tidak ada bentuk buruh paksa atau diperdagangkan yang digunakan.
“Selain itu, semua pemegang sijil MSPO perlu mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia, yang termasuk Akta Imigresen 670 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Menurut laporan, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS telah menyekat kemasukan produk minyak sawit sebuah syarikat perladangan tempatan atas dakwaan terdapat penggunaan buruh paksa selepas siasatan yang dijalankan selama setahun mendakwa terdapat penyalahgunaan, penipuan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman serta penyimpanan dokumen pengenalan diri pekerja.
-Bernama