Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Liew orang baik, profesional laksana tugas'

Profesional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab adalah antara sifat peribadi mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong yang dikongsi para pemimpin politik negara.

Menerusi laman sosial Facebook dan Twitter, mereka turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergiannya hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata : “Saya mengucapkan takziah kepada keluarga VK Liew. VK baik dan mesra dengan saya. Mendiang adalah seorang yang profesional dan berbudi bahasa di Parlimen serta seorang pejuang yang gigih bagi negeri kelahirannya Sabah. Bersemadilah dengan tenang, VK.”

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim berkata Liew merupakan seorang yang profesional dalam mengendalikan tugas sebagai Ahli Parlimen dan bekas menteri.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga VK Liew. Datuk VK Liew seorang yang baik dan beliau sentiasa profesional dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang MP dan bekas menteri. Semoga beliau bersemadi dengan tenang,” katanya menerusi Twitter.

Berkongsi ucapan takziah, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata jasa dan pengorbanan mendiang ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) semasa pentadbiran Pakatan Harapan akan terus dikenang rakyat dan negara.

Mendiang bersama Dr Mahathir

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mendiang. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng pula menyifatkan Liew bukan hanya sekadar sahabat tetapi juga pejuang untuk Sabah dan Malaysia.

Menerusi perkongsian di Twitter, Lim berkata : “Mendiang serius menjalankan tanggungjawab sebagai seorang menteri dan tidak pernah melupakan tanggungjawab kepada negeri Sabah yang disayanginya. Mendiang bangga dengan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan etnik di Sabah yang perlu dipertahankan daripada puak-puak yang rasis dan pelampau agama.”

Liew meninggal dunia pada 11.50 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu dipercayai akibat jangkitan pada paru-paru.

Mendiang sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tenat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.

Liew, 60, yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi undang-undang serta merupakan Pengerusi Tetap Warisan.

Liew, yang juga seorang peguam, meninggalkan isteri iaitu Dr Lindai Lee dan empat orang anak.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS