Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua menteri, exco Melaka jalani ujian Covid-19
Diterbitkan:  Oct 2, 2020 5:19 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka termasuk ketua menteri serta kakitangan Kompleks Seri Negeri hari ini menjalani ujian calitan saringan Covid-19 selepas seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) disahkan positif jangkitan pada Rabu lepas.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Rahmad Mariman berkata ujian saringan tersebut adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan kesemua mereka juga dipakaikan gelang merah jambu yang boleh ditanggalkan selepas disahkan negatif.

Bagaimanapun, operasi di kompleks pentadbiran kerajaan negeri Melaka masih berjalan seperti biasa, katanya pada sidang media, di Melaka hari ini.

"Berdasarkan maklumat juga semua program melibatkan kerajaan negeri yang kurang penting ditangguhkan ekoran situasi semasa Covid-19 di negeri ini," katanya.

Semalam media melaporkan Kompleks Seri Negeri diarah tutup pada 1 tengah hari selepas seorang Adun yang baru pulang dari Sabah disahkan positif Covid-19.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata setakat ini empat kontak rapat kepada Adun berkenaan iaitu ahli keluarganya telah dikenal pasti dan saringan Covid-19 telah dilakukan.

Mengenai dakwaan Adun bahawa berlaku kesilapan di pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah yang pada awalnya menyatakan beliau negatif Covid-19, Rahmad mengakui wujud kelemahan teknikal dalam pengurusan ujian Covid-19.

"Setelah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka semalam, saya minta supaya penambahbaikan dilakukan dan siasatan akan diteruskan. Jika disebabkan faktor petugas atau kakitangan, tindakan tetap akan diambil.

"Kami mohon maaf kepada semua yang terlibat dan perkara ini tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya.

Untuk rekod, Adun terlibat mendakwa ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya di PKD Alor Gajah sejurus pulang dari Sabah pada Sabtu lepas adalah negatif namun empat hari kemudian (Rabu), pihak PKD Alor Gajah menghubunginya dan memaklumkan beliau positif Covid-19.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS