Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bank Rakyat nasihatkan pelanggan sedia uruskan bayaran pasca moratorium

Bank Rakyat menasihatkan pelanggannya supaya bersedia untuk menguruskan pembiayaan mereka seperti biasa susulan tempoh moratorium telah berakhir pada Rabu lepas.

Ia berkata penting bagi mereka membuat persiapan terutama pelanggan yang membuat potongan gaji secara automatik supaya dapat mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Pelanggan yang melakukan potongan gaji menerusi Biro Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), bayaran pembiayaan bermula Oktober ini sekiranya mereka tidak layak menerima lanjutan moratorium atau bantuan bersasar yang ditawarkan oleh bank ini,” menurutnya.

Ia menjelaskan tiada potongan ansuran bulanan dari April hingga September bagi pelanggan yang menerima moratorium automatik.

“Bagi pelanggan yang tidak mengambil moratorium atau membuat pembiayaan baharu selepas tempoh moratorium berkuat kuasa April lalu, potongan gaji mereka berjalan seperti biasa,” katanya.

Sebarang kekeliruan atau masalah berkaitan pembiayaan pasca moratorium, pelanggan boleh ke cawangan Bank Rakyat berhampiran atau hubungi Pusat Panggilan di talian 13000800800.

Pelanggan juga boleh melayari laman web korporat di www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter) untuk mendapatkan maklumat lanjut .

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS