Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.4 bilion dapat membantu majikan dan pekerja dalam sektor tertentu yang terjejas oleh pandemik Covid-19 untuk tempoh tiga bulan lagi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata PSU 2.0 yang dilaksanakan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) itu dapat memanfaatkan lebih sejuta pekerja.
"Tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia ialah memastikan masalah pengangguran dapat dikawal dengan sebaik mungkin selain syarikat-syarikat dapat beroperasi supaya pekerja mereka dapat dikekalkan.
"Saya percaya sekiranya berlaku PKP semula, kita masih sempat membantu syarikat untuk terus beroperasi antaranya dari segi membayar gaji pekerja.
"Apa yang penting kita kena ada kewangan yang kukuh untuk menghadapi PKP sekiranya berlaku," katanya.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Penjana Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) Pembangunan B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka di Tapah, hari ini.
Pada 23 Sept lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM2.4 bilion di bawah PSU 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terjejas dan dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja.
Mengulas mengenai program hari ini, Saravanan berkata seramai 100 orang terdiri daripada penduduk sekitar kawasan Tapah diberikan latihan dan peralatan untuk menjahit, antara lain bertujuan memberikan kemahiran, latihan dan bimbingan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) bagi kelangsungan hidup.
Beliau berkata program yang dilaksanakan oleh kementerian dengan kerjasama HRDF dan Worldwide Corporate Resources Sdn Bhd (WCR) itu akan diperluas ke seluruh negara pada masa akan datang.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.