Rata-rata pengguna Twitter mula menyalahkan ahli politik susulan peningkatan mendadak kes baru Covid-19 semalam.
Justeru itu, mereka mula mewujudkan tanda pagar #KlusterMenteri dan #PoliticianPuncaVirus bagi meluahkan rasa berang yang dipendam.
Kedua-dua tanda pagar yang mula trending sejak semalam itu telah meraih lebih 20,000 ribu ciapan.
Antaranya pengguna akaun Twitter @danc1ngcloud berkata: “Wahai rakyat Malaysia, sekarang kita tahu yang ahli politik tidak pernah kisah dengan rakyat, kita bukan keutamaan, semua kerana duit dan kuasa,” katanya yang turut meraih lebih 1,000 ulang ciap.
Semalam, kes harian wabak itu melonjak sebanyak 260 kes, iaitu tertinggi sejak 4 Jun lalu.
Perasaan marah yang dihamburkan orang ramai ini didakwa berikutan pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan beberapa ahli politik turut dijangkiti wabak tersebut sejurus meningkatkan kes terbabit di negeri bawah bayu itu.
Malah kini, Covid-19 juga telah merebak ke negeri-negeri lain.
Semalam, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga di Pulau Pinang terpaksa ditutup dan 600 muridnya menjalani ujian swab untuk Covid-19 setelah guru mereka, yang juga isteri kepada ahli politik positif wabak itu.
Susulan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf bagi pihak ahli partinya kepada rakyat Malaysia dan petugas barisan hadapan susulan peningkatan kes baru wabak itu.
Bagaimanapun, terdapat pengguna media sosial yang enggan menerima permohonan maaf Zahid, misalnya pengguna akaun Twitter @derrul yang menggesa supaya tindakan diambil terhadap ahli-ahli politik.
“Kamu punca segalanya, satu hari anda akan terima balasan, kami tidak terima permohonan maaf tak kira bertapa ikhlasnya.
“Kami orang Sabah akan ingat Umno dan gila kuasanya serta kamu dan Musa Aman perlu diberi tindakan #KlusterMenteri #RakyatJagaRakyat,” ciapnya dengan menyertakan kenyataan permohonan maaf Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, ada juga pengguna media sosial yang membangkitkan isu pelanggaran SOP Covid-19 oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali.
Misalnya @izhamkhairu yang membuat ciapan, “sembang lah tegas apa bagai. Khairuddin Takiri pun apa pun tak kena."
Tidak ketinggalan, muncul juga tanda pagar #Menterikptsilaletakjawatan yang mula menduduki carta trending di Twitter.
Hal ini selepas, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad menyarankan agar semua institut pengajian tinggi (IPT) menangguhkan urusan kemasukan pelajar baru dan lama secara bersemuka di kampus hari ini.
Untuk rekod, semalam sepatutnya telah bermula sesi pendaftaran secara bersemuka bagi pelajar baru dan lama.
Kata pengguna akaun @miadrianna, dia berasa kesal kerana kebanyakan pelajar telah menghabiskan wang untuk ke kampus namun ia menjadi sia-sia.
“Gesaan menteri KPT untuk letak jawatan, pelajar sukar untuk mengumpul duit dan terpaksa berbelanja banyak demi pendidikan tetapi kalian hanya menimbulkan masalah buat kami,” ciapnya beserta tanda pagar #MenteriKPTsilaletakjawatan.