Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aktivis pekerja pembersihan hospital diberi DNAA
Diterbitkan:  Oct 2, 2020 2:31 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Lima aktivis yang menuntut layanan lebih baik buat pekerja pembersihan hospital diberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kerana mengadakan himpunan bantahan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini berlaku setelah pihak pendakwaan menerima representasi pembelaan agar pendakwaan itu tidak diteruskan.

Pada Jun, polis menahan setiausaha eksekutif National Union of Workers in Hospital Support and Allied Services (NUWHSAS) M Saraswathy dan empat yang lain kerana memprotes majikan Edgenta UEMS di luar Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.

Mereka kemudian minta dibicarakan atas tuduhan melanggar Seksyen 7 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Lokal yang Terinfeksi) 2020 yang melarang perhimpunan untuk pelbagai tujuan.

Protes mereka adalah untuk menyatakan keprihatinan terhadap apa yang mereka katakan sebagai layanan buruk yang diterima oleh pekerja pembersihan hospital dari Edgenta UEMS termasuk tidak diberi peralatan perlindungan diri (PPE) yang cukup, menafikan hak kesatuan mereka dan memaksa pekerja untuk menukar waktu kerja.

UEM Edgenta Bhd telah mengeluarkan penjelasan sebagai tindak balas terhadap protes tersebut, dan menolak berbagai tuduhan yang ditujukan kepada mereka.

Peguam kelima-lima aktivis itu, Bawani KS dalam surat perwakilan pembelaan berpendapat bahawa tunjuk perasaan itu tidak boleh dianggap sebagai perhimpunan atau perarakan untuk tujuan ekonomi, agama, pendidikan, sukan, rekreasi, sosial, atau budaya seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 7 (1) ) undang-undang MCO.

Menurut sebuah artikel oleh PSM, Bawani juga berpendapat bahawa himpulan kesatuan sekerja tidak boleh digolongkan sebagai “perhimpunan atau perarakan sama ada bagi maksud ekonomi, keagamaan, Pendidikan dan pembelajaran, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan”, yang termaktub dalam Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang digunakan untuk mendakwa anak guam mereka.

Pegawai NUWHSAS L Danaletchumi, yang merupakan salah satu daripada lima aktivis itu, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong mereka.

"Tanpa sokongan orang ramai, media, dan NGO, kami tidak akan mendapat keputusan ini.

"Ini menunjukkan bahawa pekerja mendapat sokongan dari semua orang dan kekuatan pekerja dapat dimenangkan dengan sokongan," katanya kepada Malaysiakini.

*Laporan tambahan oleh Fion Yap


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS