Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR saman RM10 juta, Zuraida anggap buang masa mahkamah
Diterbitkan:  Oct 2, 2020 12:54 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

KEMASKINI PKR memfailkan saman RM10 juta terhadap bekas naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin berikutan tindakannya melompat parti.

Parti itu memaklumkan telah mengirimkan surat tuntutan terhadap Zuraida pada 7 Ogos, namun anggota parlimen Ampang itu masih belum memberikan sebarang jawapan.

Dalam satu kenyataan, Bendahari PKR, Lee Chean Chung berkata saman tersebut difailkan pada 28 Sept lalu.

Zuraida bersama 11 anggota parlimen lain meninggalkan PKR pada Februari untuk bersama Bersatu, Umno-BN, dan GRS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Berikutan itu, beberapa anggota dewan undangan negeri yang berpihak kepada Azmin Ali juga bertindak keluar daripada parti itu.

Semua anggota parlimen PKR menandatangani perjanjian sebelum pilihan raya umum 2018 dan bersetuju dengan syarat bahawa mereka akan dikenakan denda RM10 juta sekiranya melompat parti.

Lee berkata, dengan menandatangani perjanjian itu, Zuraida mengakui bahawa penggunaan logo dan simbol PKR ' bernilai' RM10 juta, berdasarkan kos yang dikeluarkan oleh parti untuk mempromosikan logo tersebut.

Katanya, PKR telah berusaha menyerahkan kertas kausa kepada Zuraida semalam dan kelmarin tetapi tidak berjaya.

Katanya, peguam PKR akan menulis surat kepada Zuraida bagi melantik peguam cara untuk mewakili pihaknya.

Lee berkata PKR juga akan melakukan tuntutan yang sama terhadap 20 anggota parlimen dan Adun lain yang telah berpaling tadah.

'Buang masa mahkamah'

Dalam satu kenyataan Zuraida berkata saman tersebut hanya "membuang masa mahkamah" kerana mahkamah tidak akan menerima perjanjian yang melanggar perlembagaan persekutuan.

Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

"PKR nampaknya tidak menyedari bahawa dalam demokrasi kita, wakil rakyat bebas meninggalkan parti politik mereka dan untuk itu, saya dipecat," katanya.

Dia menggambarkan saman "tidak masuk akal"  itu sebagai sengaja mencari sensasi dan publitisi murahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata dia meninggalkan PKR kerana parti itu tidak lagi menumpukan agenda kesejahteraan rakyat sebaliknya cuba mencapai cita-cita Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk jadi perdana menteri.

"Kekecohan mereka untuk merebut jawatan perdana menteri dapat dilihat di seluruh negara selama 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan dan sekarang di tengah-tengah wabak koronavirus," katanya sambil menambah sikap itu bertentangan prinsip beliau.

"Mengenai saman yang tak berfaedah ini terhadap saya, teruskan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS