Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan membentangkan laporan komprehensif untuk menentukan hala tuju parti itu selepas 'dipinggirkan' dalam kerajaan Sabah.
Kenyataan ahli parlimen Bagan Datuk itu muncul selepas Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, membuat desakan agar Ahmad Zahid memberi kenyataan mengenai kerjasama mereka dengan parti lain dilihat tidak menguntungkan.
Kata Ahmad Zahid untuk permulaan isu berkenaan akan dibincangkan dalam biro politik sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi Umno uintuk diperhalusi.
Menurutnya lagi isu hala tuju Umno adalah sesuatu yang penting dan memerlukan persetujuan bersama untuk diputuskan.
"Ini soal penting. Tidak sesuai untuk saya bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama," katanya.
Kenyataan itu dibuat Ahmad Zahid dalam hantaran di media sosial petang ini.
Umno yang bersama-sama dengan parti lain membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menjadi kerajaan Sabah menggantikan Warisan melalui pilihan raya negeri pada 26 Sept lalu.
Umno memenangi kerusi paling banyak berbanding parti lain dalam GRS.
Ekoran kejayaan itu Ahmad Zahid membayangkan keinginan Umno untuk menduduki kerusi ketua menteri namun sebaliknya parti serpihan mereka, Bersatu, mendapat kedudukan tersebut.
Sama seperti di Putrajaya, keberadaan Umno di Sabah adalah penting untuk kelangsungan kerajaan dan sebarang langkah menarik balik dukungan yang diberi boleh memberi kesan kepada Bersatu.
Pagi tadi Mohamad berkata ahli Umno tidak berpuas hati dengan susunan kerajaan Sabah dan meminta Ahmad Zahid supaya mengemudi partinya ke hala tuju yang lebih jelas.
Menurut Mohamad jika Umno terus menyerahkan kubu kuatnya - seperti Sabah - kepada parti lain, maka pengaruh mereka akan terus berkurangan dari semasa ke semasa.
Ahmad Zahid berkata pemimpin Umno boleh memberikan pandangan mengenai hala tuju parti dalam mesyuarat yang akan diadakan nanti.
"Semua pimpinan parti boleh memberikan pandangan dalam mesyuarat itu," katanya.