Seorang ahli dewan undangan negeri (DUN) Sabah menimbulkan kebimbangannya mengenai cadangan melantik wakil dari PAS menyertai DUN dan kabinet negeri yang baru dibentuk.
Adun Kapayan, Jannie Lasimbang, dalam satu kenyataan hari ini, mendakwa bahawa PAS adalah parti yang tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan dengan wakilnya di dalam kerajaan negeri Sabah akan mengganggu keharmonian agama dan kaum.
"Pelantikan PAS ke dalam DUN, dan lagi teruk dilantik dalam kabinet, akan mengakhiri keharmonian agama dan etnik yang dinikmati dan dipupuk oleh orang-orang di Sabah," katanya.
Adun DAP itu mengulas cadangan oleh Setiausaha Agung BN, Annuar Musa dan Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris semalam.
Annuar mencadangkan agar kerajaan baru negeri melantik wakil pemimpin mereka seperti PAS untuk menganggotai kabinet atau DUN manakala Razali pula berkata lantikan tersebut harus dibuat sebagai tanda penghargaan kepada parti itu yang melakukan pengorbanan tidak meletakkan calon pada PRN Sabah ke-16.
Bekas pembantu menteri undang-undang dan hal ehwal anak negeri Sabah itu turut menyentuh tentang kenyataan Ahli Parlimen Pasir Putih, Nik Muhammad Zawawi Salled mengenai Alkitab yang dituduh terpesong dan sikapnya terhadap orang Kristian.
Katanya, PAS selalu mengambil pandangan melampau yang didakwa akan memudaratkan semua agama, termasuk Islam, Kristian, Buddha, Tao, Hindu atau kepercayaan orang asal.
"Jika, ahli PAS yang dilantik itu kemudian dilantik sebagai menteri yang menjaga Hal Ehwal Anak Negeri di Sabah, orang asal Sabah akan diabaikan kerana PAS adalah parti ultra-Melayu yang tidak menegakkan atau menghormati pluraliti budaya.
"Prinsip budaya asli penting yang telah diangkat oleh kementerian di bawah kerajaan Warisan Plus, dan penambahbaikan sistem Mahkamah Anak Negeri cenderung diabaikan kerana ini tidak menjadi kepentingan PAS.
“Usaha yang diperkenalkan dan dicapai dalam 26 bulan jauh lebih relevan dengan Sabah daripada Dasar Kebudayaan Nasional," katanya.
Lasimbang juga mencabar pemimpin Kadazan Dusun Murut (KDM) dalam PBS dan Star yang sebelum ini lantang dalam isu hak Sabah untuk membuat pendirian berhubung cadangan tersebut.
Sementara itu, mengulas saranan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa bahawa perlunya pemimpin wanita dalam kabinet kerajaan negeri Sabah, Lasimbang berkata dia menyokong cadangan tersebut.
"Lebih banyak wanita harus dilantik menjadi Adun kerana hanya dua wanita Adun dari gabungan Gabungan Rakyat Sabah berjaya dalam PRN16, menjadikannya hanya tujuh Adun atau kurang dari 10 peratus dengan lima Adun dari Warisan Plus," katanya.