Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FGV nafi guna buruh paksa
Diterbitkan:  Oct 1, 2020 11:30 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

FGV Holdings Bhd menafikan dakwaan Kastam dan Kawalan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat bahawa mereka menggunakan buruh paksa.

Penafian itu dibuat selepas CBP mengharamkan import minyak sawit daripada FGV semalam.

FGV berkata kecewa dengan larangan itu, kerana telah mengambil "langkah konkrit" untuk menangani masalah hak asasi manusia dan menegakkan piawaian hak pekerja.

"FGV ingin menegaskan semua isu yang dibangkitkan telah menjadi topik wacana umum sejak 2015 dan FGV telah mengambil beberapa langkah untuk memperbaiki keadaan.

"Usaha FGV didokumentasikan dengan baik dan tersedia di ruang awam," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Dalam mengumumkan larangan tersebut, CBP berkata siasatan selama setahun telah menunjukkan petunjuk buruh paksa, termasuk antara lainnya mengeksploitasi keadaan pekerja tanpa perlindungan hak, penipuan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri.

Siasatan itu juga dilaporkan menimbulkan kebimbangan terdaat potensi buruh paksa-kanak digunakan oleh FGV.

Mengulas perkara itu, FGV berkata semua pekerja asingnya, terutama dari India dan Indonesia, diambil bekerja melalui saluran undang-undang, dan pusat sehenti telah didirikan di negara asal untuk memberi tahu mereka mengenai pekerjaan, ruang lingkup pekerjaan dan hak mereka .

FGV menjelaskan syarikat itu tidak mengambil pekerja kontrak dan semua pekerja digajikan secara langsung oleh FGV.

Mengenai dakwaan bahawa dokumen pengenalan diri pekerja disimpan syarikat, FGV berkata hal tersebut bukan amalannya.

FGV berkata pihaknya memasang 32.250 peti keselamatan di semua 68 kompleks sebagai pilihan kepada pekerja asing untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat.

Syarikat itu juga berkata telah melabur RM350 juta untuk meningkatkan kemudahan perumahan bagi pekerjanya.

Menurut FGV lagi, syarikat itu mempunyai kod etika pembekal untuk memastikan piawaian hak tenaga kerja, kesihatan, keselamatan, kelestarian dan etika perniagaan diamalkan di seluruh rantaian bekalan. Pembekal yang tidak mematuhi syarat akan disenarai hitam.

"Perlu diulangi bahawa FGV tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah dalam operasinya.

"FGV memberikan perhatian serius terhadap setiap tuduhan keganasan fizikal atau seksual serta intimidasi atau ancaman, dan sebagai syarikat yang bertanggungjawab, FGV akan mengambil tindakan lanjut untuk setiap kes seperti ini termasuk dengan melaporkannya kepada pihak berwajib," kata FGV.

FGV berkata pihaknya telah berkomunikasi dengan CBP sejak Ogos tahun lalu dan telah mengemukakan bukti FGV patuh melindungi piawaian hak pekerja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS