Setelah memenangi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencadangkan agar kerajaan baru negeri di bawah bayu melantik wakil pemimpin mereka seperti PAS untuk menganggotai Kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Mengulas lanjut perkara itu, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata beliau percaya sekurang-kurangnya seorang wakil PAS akan mengisi satu dari enam anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik.
“Saya percaya seorang wakil PAS akan mengisi satu dari enam Adun dilantik. Mungkin dua lagi dari Umno, tiga lagi dari PBS, Star dan Bersatu,” tulisnya di Twitter, semalam.
Annuar, yang juga ahli parlimen Ketereh dan menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian mengulas kenyataan Bersatu Terengganu yang mencadangkan wakil pemimpin gabungan GRS seperti PAS menganggotai kabinet mereka.
Annuar juga menyatakan harapan untuk melihat wakil wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
DUN Sabah mempunyai 73 kerusi yang diisi oleh perwakilan melalui pilihan raya.
Perlembagaan negeri membenarkan ketua menteri untuk meminta Yang Dipertua Negeri Sabah menambah enam lagi anggota dewan yang dicalonkan.
GRS, gabungan longgar terdiri daripada BN, Perikatan Nasional dan PBS, memperoleh kemenangan dalam pilihan raya negeri, pada Sabtu lalu.
Dalam PRN Sabah, GRS memperoleh 38 kerusi sekali gus membolehkan perikatan itu membentuk kerajaan negeri.
Semalam, Adun Sulaman, Hajiji Mohd Noor dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 selepas mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.
Turut mengangkat sumpah ialah Bung Moktar Radin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Dr Jeffry Kitingan pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 2 serta jawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.
Timbalan Ketua Menteri 3 dipegang oleh Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Joachim Gunsalam, selain dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.
Turut mencadangkan perkara yang sama ialah Bersatu Terengganu, semalam.
Pengerusinya, Razali Idris berkata lantikan tersebut harus dibuat sebagai tanda penghargaan kepada parti itu yang melakukan pengorbanan tidak meletakkan calon pada PRN Sabah ke-16.
“Mudah-mudahan kerajaan GRS terus berkhidmat kepada rakyat dan segera melaksanakan aku janji PRN,” katanya.