Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Denggi: 2,119 kes, 6 kematian di Melaka sehingga 26 Sept

Melaka merekodkan sebanyak 2,119 kes demam denggi dengan enam kematian dalam tempoh sejak Januari sehingga Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Rahmad Mariman berkata daerah Melaka Tengah merekodkan kes demam denggi terbanyak iaitu 1,397 kes, diikuti Jasin (399 kes) dan Alor Gajah (323 kes).

"Trend peningkatan kes demam denggi di negeri ini dilihat melebihi paras amaran dan kadar kematian kes sebanyak 0.28 peratus adalah melebihi paras yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. Selain itu 14 lokaliti titik panas wabak denggi telah dikenal pasti," katanya kepada Bernama di Melaka, hari ini.

Justeru katanya kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Program Gotong-Royong Mega Bersepadu peringkat negeri Melaka yang dijadual akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Sabtu ini.

Katanya gotong-royong itu turut akan diadakan di lokaliti utama berisiko wabak denggi iaitu di Taman Ayer Molek, di sini; Kampung Solok Tengah, Jasin dan Taman Kuala Permai, Alor Gajah.

"Kerajaan negeri berharap agar semua pihak terutama penduduk di lokasi berkenaan dapat mengambil inisiatif untuk membersihkan kawasan kediaman mereka dan sekitarnya agar bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes," tambahnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS