Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee mohon sertakan afidavit Apandi Ali dalam rayuan gugurkan Sri Ram

Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk menambah bahan bukti bagi menguatkan rayuannya untuk mengugurkan Gopal Sri Ram daripada menjadi pendakwaan kes pengubahan wang haram RM9.5 juta terhadapnya.

Menurut Notis Usul yang difailkan Mahkamah Rayuan semalam antara bukti tambahan yang disertakan termasuk afidavit bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berkenaan dakwaan terhadap Sri Ram.

Shafee membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur April lalu yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Sri Ram dalam kes terhadapnya.

Pada 14 Jun lalu, Apandi dilaporkan memfailkan afidavit yang antara lain mendakwa Sri Ram cuba memujuknya untuk menangkap Najib Razak pada 2018.

Sejak itu, afidavit tersebut dimasukkan dalam sejumlah perbicaraan mahkamah, antaranya permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan dalam kes pindaan laporan audit 1MDB.

Permohonan Najib itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Oktober ini.

Notis usul itu turut memohon untuk menyertakan permohonan pengguguran Sri Ram daripada pasukan pendakwaan kes pindaan laporan audit 1MDB.

Pada mulanya hari ini ditetapkan untuk Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Shafee untuk menggugurkan Sri Ram daripada kes pengubahan wang haram terhadapnya.

Namun ia tidak dapat diteruskan selepas Shafee memaklumkan panel hakim yang dipengerusikan Yaacob Md Sam berhubung notis usul tersebut yang menurutnya telah difailkan semalam.

Menurut Shafee, bukti tambahan itu penting kerana ia mempunyai kaitan dengan rayuan yang dibuatnya.

"Isu berkenaan dakwaan oleh bekas hakim mahkamah persekutuan dan peguam negara Apandi Ali menjadi sangat penting ekoran dakwaan terhadap Sri Ram," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz kemudian memberitahu hakim bahawa pihaknya baru menerima salinan Notis Usul tersebut hari ini dan memerlukan masa untuk memberikan maklum balas.

Yaakob kemudian menangguhkan pendengaran hari ini.

Pendaftar Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 25 Januari depan untuk mendegar permohonan Shafee untuk menyertakan bukti tambahan itu.

Pendengaran untuk permohonan utama Shafee - iaitu berkenaan menggugurkan Sri Ram - ditetapkan pada 9 Disember ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS