Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun kerajaan, pembangkang bantah cadangan S'gor nyahwarta hutan simpan

Adun dari kerajaan negeri dan pembangkang sepakat menyuarakan bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor untuk nyahwarta sebahagian besar hutan simpan Kuala Langat (Utara) untuk projek pembangunan.

Di Pulau Carey pagi tadi, dalam sesi townhall wakil rakyat PKR Bukit Lanjan Elizabeth Wong, wakil PAS Sijangkang Ahmad Yunus Hairi dan wakil DAP Banting Lau Weng San antara yang berdiri untuk menyuarakan pandangan mereka.

Menujukan ucapannya kepada Exco kerajaan Selangor Hee Loy Sian, Wong menekankan "kekecewaannya" terhadap rancangan itu terutama kerana cadangan itu melibatkan salah satu dari empat paya gambut yang masih ada di negeri ini.

Dia juga mempersoalkan apakah syarikat milik kerajaan Selangor Menteri Besar Diperbadankan (MBI) adalah "pemaju sebenar" di sebalik projek itu.

Wong kemudiannya memetik ucapan Hee dari ucapannya pada 2019 di mana dia memberi jaminan bahawa hutan simpan di Selangor hanya akan digunakan bagi pembangunan untuk infrastruktur Tenaga Nasional Berhad (TNB), saluran paip Air Selangor dan projek lebuh raya.

 

"Saya percaya kepada anda (dan) saya akan berdiri di belakang anda untuk melawan mereka. YB (Hee) dan semua exco, jangan takut. Kita mesti mempunyai keberanian untuk yakin.

"Kami telah diundi di sini untuk berubah, kami mahukan perubahan. Kita tidak boleh menjadi seperti kerajaan sebelum ini.

"Gunakan daya politik. Gunakan keberanian kita, untuk berdiri bersama dengan YB (Hee) dan juga kerajaan selangor menghalang hutan simpan ini dinyahwarta," katanya.

 

Hee adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna.

Pemimpin PKR itu juga turut mengetuai jawatankuasa pelbagai agensi yang ditugaskan untuk menangani maklum balas orang ramai mengenai rancangan untuk menyahwarta hutan simpan Kuala Langat (Utara).

Masih kehilangan hutan setelah ‘penggantian’

Ahmad Yunus juga menentang projek itu dan mendesak kerajaan negeri untuk memberi tumpuan memperkasakan masyarakat Orang Asli yang berdekatan.

Sebelum ini empat kampung Orang Asli membantah rancangan itu kerana mereka tidak lagi dapat bergantung pada hutan simpan untuk keperluan makanan, perubatan dan budaya mereka.

 

"Jadi saya harapkanlah jangan terburu-buru buat keputusan. Kaji semula.

"Saya ingat bangunkan dulu kualiti hidup Orang Asli. Pendidikan mereka ekonomi mereka supaya mereka lagi hebat.

"Dan saya harap kita menghargai Orang Asli yang menjadikan hutan sebagai sumber kehidupan mereka," kata Ahmad Yunus.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelumnya menjelaskan bahawa kerajaan ingin menggantikan hutan simpan kerana banyak pokok telah "rosak" dan membawa ancaman kebakaran.

Amirudin berkata, kualiti pokok di hutan simpan Kuala Langat yang merupakan hutan gambut telah merosot akibat kebakaran dan menimbulkan bahaya kebakaran ke kawasan sekitarnya.

Dia mempertahankan cadangan kerajaan negeri menyahwarta status Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) dengan mengatakan 40 peratus kawasan berkenaan sudah menjadi hutan rosot.

Selain itu Amirudin juga memberi jaminan bahawa ia akan digantikan dengan kawasan hutan simpan yang baru.

Ketika sesi townhall hari ini, Lau tidak setuju dengan idea "penggantian selari" ini kerana cadangan hutan simpan baru terletak jauh di Sabak Bernam dan Ampang Pecah.

Oleh itu, katanya Orang Asli Kuala Langat dan penduduk di situ tidak lagi mempunyai akses ke hutan simpan berhampiran mereka.

"Kita akan kehilangan sumber ini selama-lamanya. Ini adalah hutan simpan tepat di tengah-tengah bandar Kuala Langat. Walaupun ia digantikan dengan mewartakan di tempat lain, saya rasa ini bukan perbandingan yang adil kerana kita pasti akan kehilangannya.

"Saya rasa cara terbaik untuk melindungi hutan simpan Kuala Langat (utara) adalah dengan tidak menyahwartakannya, tetapi bekerja keras untuk mengekalkan status quo sebagai hutan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS