Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MMA cadang individu pulang dari Sabah ditempatkan di pusat kuarantin
Diterbitkan:  Sep 29, 2020 3:44 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) prihatin terhadap jumlah besar individu yang pulang dari Sabah yang menyaksikan lonjakan kes Covid-19, ke bahagian lain di negara ini berikutan pilihan raya negeri (PRN) pada hujung minggu lalu.

Menekankan bahawa dua hingga tiga minggu ke depan sangat penting dalam membendung penyebaran virus, Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy mencadangkan agar semua individu yang pulang dari Sabah ditempatkan di pusat kuarantin.

"Kami memuji keputusan Kementerian Kesihatan untuk menguji dan mengenakan kuarantin ke atas semua yang pulang dari Sabah.

"Semua yang pulang dari Sabah mesti memastikan mereka mematuhi sepenuhnya kuarantin dan SOP. Jika tidak kluster baru akan muncul di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Namun, Subramaniam menyorot bahawa dalam situasi tertentu, penjarakan fizikal di persekitaran rumah sukar dilakukan.

"Pusat kuarantin akan menjadi pilihan yang lebih selamat," tambahnya.

Subramaniam juga menggesa para majikan untuk memastikan bahawa pekerja mereka yang pulang dari Sabah disahkan sihat secara perubatan dan dinyatakan bebas dari Covid-19.

"Pekerja juga harus dimaklumkan dengan majikan mengenai status kesihatan mereka dengan dokumentasi yang tepat," tambahnya.

Bagi pekerja penjagaan kesihatan, presiden MMA meningingatkan agar mereka berhati-hati dan mematuhi semua protokol kawalan penyakit berjangkit.

"Semua pekerja kesihatan harus konsisten dalam mematuhi langkah pencegahan ketika mengendalikan pesakit," tambahnya.

Kira-kira separuh daripada kes Covid-19 di luar Sabah dikaitkan dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan di negeri itu.

Berkuat kuasa pada 27 September hingga 10 Oktober, individu yang tiba dari Sabah diwajibkan menjalani ujian wajib dan melakukan kuarantin rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS