Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timbalan ketua menteri Sabah tekad beri khidmat terbaik

Dua Timbalan Ketua Menteri Sabah Dr Jeffrey Kitingan dan Dr Joachim Gunsalam masing-masing bertekad memberikan khidmat terbaik untuk rakyat negeri Sabah.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata bagi memberikan fokus penuh terhadap tanggungjawab itu, beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di dalam Kerajaan Persekutuan.

"Saya pulang dahulu (ke Kuala Lumpur) dan kemas barang, kemudian terus fokus Sabah. Saya mahu bantu rakyat terutama orang kampung yang terlibat dalam pertanian," kata Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan kepada pemberita di luar Istana Negeri di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah  Bung Moktar Radin juga ADUN Lamag tidak mahu ditemu bual kerana terpaksa bergegas menghadiri acara lain.

Terdahulu ketiga-tiga timbalan ketua menteri itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di Kota Kinabalu, hari ini.

Jeffrey juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata dalam memperkukuh portfolio dipegangnya sekarang beliau berazam memajukan lagi sektor makanan di Sabah yang dilihat penting dalam usaha memajukan sosio-ekonomi rakyat di negeri ini.

"Ini kali kedua saya sertai kabinet Sabah, kali pertama dua hari sahaja," katanya merujuk kepada peristiwa 2018 yang mana beliau dilantik dalam kabinet Tan Sri Musa Aman, namun hanya 48 jam selepas itu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah dan ADUN Kundasang berkata pelantikan untuk memegang jawatan berkenaan adalah tidak disangka-sangka, namun dirinya tekad untuk terus berusaha memajukan sektor perindustrian negeri ini.

"Saya berterima kasih kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Maximus Ongkili dan Ketua Menteri Sabah yang baharu Datuk Hajiji Noor kerana mencadangkan saya untuk memegang jawatan ini.

Selepas ini saya berjumpa dan akan mendengar taklimat daripada pegawai dari Kementerian Pembangunan Perindustrian untuk merangka hala tuju kementerian ini, saya akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin," katanya yang juga Naib Presiden PBS.

Dalam pada itu Menteri Kerja Raya yang juga ADUN Karanaan Masidi Manjun berkata kembalinya beliau dalam barisan kabinet negeri Sabah adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Beliau berkata ia bukan mudah untuk dilaksanakan dan berharap akan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak agar tugas dan tanggungjawab yang dipikul dapat dijalankan dengan lancar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS