mk-logo
Berita
Rasa tak puas hati di Sabah boleh buat MP Umno sokong Anwar
Diterbitkan:  Sep 28, 2020 9:48 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Jawatan ketua menteri Sabah yang terlepas dari 'genggaman Umno' mungkin mendorong rasa tidak puas hati beberapa ahli parlimen parti itu.

Ini mungkin memberi kelebihan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam usahanya untuk mengambil alih Putrajaya tetapi tidak menjamin kejayaan kerana beberapa faktor lain juga perlu diperhatikan.

Bahkan sebelum pilihan raya Sabah, kepemimpinan tertinggi Umno mengesahkan terdapat ahli parlimen Umno yang sudah berpaling arah kepada Anwar.

Pada 23 September, Anwar mendakwa beliau mendapat majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru dan dalam beberapa jam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan "ramai" ahli parlimen Umno menyokong Anwar.

Sekarang, rasa tidak puas hati itu akan berkembang dengan Ketua Bersatu Sabah Mohd Hajiji Noor diumumkan sebagai ketua menteri Sabah yang baru.

Ini walaupun Zahid berkata terlalu besar nilainya bagi Umno dan BN untuk menyerahkan jawatan itu kepada Bersatu. Umno mahu ketua parti Sabah, Bung Moktar Radin menjadi ketua menteri baru.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang terdiri daripada BN negeri (Umno, MCA, PBRS), PN (Bersatu, Star, SAPP) dan PBS, memenangi pilihan raya Sabah pada Sabtu lalu dengan meraih 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Semua parti ini, kecuali SAPP, merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan PN tetapi di peringkat negeri, PN adalah salah satu daripada tiga komponen dalam GRS.

Di dalam GRS, walaupun Umno menang paling banyak sebagai satu parti, dengan 14 kerusi DUN namun sekutu BN, MCA dan PBRS gagal meraih sebarang kerusi.

Sebagai gabungan, PN menguasai lebih banyak DUN dengan mempunyai 17 kerusi, dengan 11 dari Bersatu dan enam dari Star. SAPP tidak memenangi apa-apa manakala PBS menang 7.

GRS hari ini menampilkan stau barisan bersatu, berkata Hajiji mendapat sokongan sebulat suara daripada mereka.

Bung didesak tolak jawatan KM

Tetapi di sebalik tabir, Umno Sabah tidak mempunyai banyak pilihan kerana tidak mempunyai jumlah Adun mencukupi.

Zahid ketika dihubungi mengenai perkembangan terkini memberitahu Malaysiakini Bung didesak untuk memberikan persetujuannya.

"Bung 'terpaksa' berkompromi atas desakan 14 Adun BN supaya berada dalam kerajaan baru Sabah, meskipun Bung hanya sebagai timbalan ketua menteri Sabah.

"Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili kepimpinan tertinggi Umno sewaktu berkompromi untuk beri kepada Hajiji.

"Keputusan dibuat oleh Bung atas pandangan pimpinan atasan Umno yang berunding di Kota Kinabalu," kata Zahid kepada Malaysiakini.

Faktor lain yang menguntungkan Anwar adalah 'bintang' Presiden Warisan Shafie Apdal agak 'malap sinarnya' selepas gagal mempertahankan Sabah.

Sebelum ini, DAP dan Amanah mahu Shafie menjadi calon alternatif perdana menteri Pakatan Harapan selain Anwar.

Pendirian ini dengan kepercayaan sebagai rakyat Malaysia Timur, Shafie berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk meyakinkan ahli parlimen Sarawak untuk bergabung bersama PH.

Bagaimanapun, kemenangan besar yang mereka harapkan di Sabah, untuk meningkatkan kedudukan Shafie, tidak menjadi kenyataan.

Anwar untuk tempoh waktu yang lama cuba untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen Sarawak, terutama daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan sekarang mengubah arah lain dengan menarik dokongan ahli parlimen daripada Umno pula.

DAP berkata terkejut dengan hala tuju itu dan menegaskan parti berkenaan tidak boleh bekerjasama dengan Umno sekiranya Anwar sedang berusaha mendapat sokongan kumpulan MP yang dipimpin oleh Zahid atau bekas perdana menteri Najib Razak, yang keduanya menghadapi tuduhan rasuah.

Najib telah didapati bersalah dalam beberapa pertuduhan terhadapnya. Bekas perdana menteri ppada 28 Julai dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Beliau kini dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan.

Pada masa ini, Pakatan Harapan mempunyai 91 ahli parlimen di Dewan Rakyat dan memerlukan 21 anggota lagi untuk mendapat majoriti sederhana.

Anwar belum menyatakan siapa ahli parlimen yang dikatakan menyokongnya itu, dengan menegaskan beliau mesti mengemukakannya terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah terlebih dahulu.

Al-Sultan Abdullah sedang menjalani rawatan perubatan dan masih belum memberi perkenan menerima Anwar mengadap.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan yang mempunyai lima anggota parlimen dan dipimpin oleh mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, membayangkan mereka tidak akan menyokong Anwar.

"Anwar dah tolak Pejuang (semasa pengumuman baru-baru ini)...dia kata ada majoriti kecuali Dr Mahathir.

“Jadi saya ini ditolak terus. Jadi macam mana saya nak sokong dia?

"Dia dah tolak kita awal-awal lagi," katanya pada 25 Sept lalu.

MP Warisan dapat selamatkan Muhyiddin

Sehingga pilihan raya Sabah, Warisan dan Upko yang mempunyai 10 anggota parlimen juga telah bersekutu dengan Pejuang di blok ketiga.

Walau bagaimanapun, dinamik politik telah berubah. Shafie berpotensi menyokong Anwar atau Muhyiddin sekiranya mereka dapat memudahkan Warisan kembali berkuasa di Sabah.

Bagi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang berhadapan ancaman beberapa ahli parlimen Umno berpaling tadah kepada Anwar, adalah bijak membuka pintu kepada Warisan dan Upko.

Ini kerana 10 anggota parlimen Warisan dan Upko dapat membuat banyak perbezaan.

Pada masa ini, Muhyiddin hanya mendapat sokongan 113 daripada 222 ahli parlimen di Dewan Rakyat. Beliau boleh kehilangan majoriti dengan mudah jika dua ahli parlimen gabungannya berpaling tadah.

Warisan juga akan memerhatikan rancangan Anwar selanjutnya untuk melihat apakah beliau benar-benar berupaya mencabar gabungan Muhyiddin.

Kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan bertemu di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini, dipercayai berkaitan dengan cubaan Anwar mengambil alih kerajaan, tetapi tiada perincian mengenai pertemuan tersebut yang dikeluarkan.

Bersamaan dengan itu, Shafie pula menganjurkan pertemuan di Kota Kinabalu dan mengunci mulut mengenainya.

Adakah Anwar benar-benar mempunyai jumlah ahli parlimen mencukupi hanya akan diketahui apabila beliau diperkenankan mengadap Yang Di-Pertuan Agong.

Sementara itu, kedudukan Warisan di Sabah dapat mempengaruhi bentuk kerajaan persekutuan pada minggu-minggu berikutnya.

Warisan dengan 23 kerusi, adalah parti terbesar di DUN Sabah. Bagaimanapun, sekutunya hanya mampu memperoleh sembilan kerusi dalam pilihan raya Sabah, yang menjadikan gabungan Warian Plus mendapat sebanyak 32 kerusi berbanding GRS dengan 38 kerusi. Selebihnya tiga kerusi dimenangi oleh calon bebas.

Hajiji telah diundang untuk mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru di istana negeri di Kota Kinabalu esok.

Sorotan akan diberikan terhadap Warisan, sama ada esok parti itu akan muncul dengan kejutan pada saat-saat akhir, menyokong Hajiji atau menjadi pembangkang.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS