ULASAN | Pola pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak berubah, mereka kekal memilih ikut calon penyandang. Pola pengundian kaum juga sama seperti PRU14.
Jika dilihat keputusan PRN Sabah, pengundi Cina kekal memilih PH-DAP, manakala pengundi Kadazan Dusun-Murut kekal memilih PBS-Star, sementara pengundi Melayu Brunei di pantai barat dan utara Sabah kekal memilih Umno-Bersatu. Pantai timur pula kekal memilih Warisan.
Kemenangan Umno merampas dua kerusi dari tangan Warisan tidak membawa makna apa-apa atas dua faktor.
Pertama, DUN Pantai Manis sebelum ini dimenangi Warisan dirampas Umno, namun kerusi DUN baru yang dibentuk bersebelahan Pantai Manis, iaitu DUN Limbahau dimenangi Warisan dalam PRN kali ini.
Kedua, DUN Karambunai sebelum ini dimenangi Warisan dirampas Umno, namun kerusi DUN baru yang dibentuk bersebelahan Karambunai, iaitu DUN Darau dimenangi Warisan dalam PRN kali ini.
Katak lompat bukan isu
Jika di Semenanjung, pengundi memilih faktor parti dan calon serentak atau memilih faktor parti sahaja.
Bagaimanapun, pengundi di Sabah khususnya di luar bandar memilih mengikut calon.
Jika calon tersebut popular atau merupakan penyandang kerusi, kebiasaannya pengundi sesebuah kawasan memilih calon popular/penyandang tanpa mengira dia lompat parti mana, sekalipun atas tiket bebas (tiga kerusi dimenangi bebas).
Hal ini kerana calon penyandang, apatah lagi yang telah berkhidmat terlalu lama dan banyak menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi serta sosial, sudah tentu akan dipilih pengundi kawasan berkenaan.
Hal ini dapat dilihat pada imej Jadual 1, 2, 3, 4 dan 5 di bawah:
Ia menjadi kelaziman di Sabah apabila penyandang kerusi tersebut dicalonkan lagi, undi majoriti dan peratus kemenangan akan meningkat.
Banyak contoh kerusi yang menyaksikan jumlah peratus undi kemenangan meningkat di hampir semua 60 kerusi (lama) yang dipertandingkan. Contohnya kerusi PKR di Api-Api, kerusi Bersatu di Karanaan dan banyak lagi kerusi lain.
Hal inilah yang menyebabkan lapan daripada 11 kerusi yang dimenangi Bersatu, semuanya merupakan penyandang kerusi tersebut dan undi majoriti parti tersebut menang, sekaligus menjadikan Bersatu menang sejumlah kerusi yang berkualiti.
Undi ahli Umno ke atas Bersatu walaupun jentera mereka tidak bekerjasama juga memainkan peranan penting yang wajib parti Bersatu mengucapkan terima kasih.
Sementara itu, hampir semua 14 kerusi Umno yang mencalonkan semua muka baru dimenangi dengan undi majoriti kurang berkualiti melainkan beberapa DUN seperti Usukan, Tempasuk dan beberapa DUN lain.
Senjata yang Warisan yang mainkan, iaitu tolak calon lompat katak tidak relevan kerana pengundi mementingkan calon, terutama penyandang.
Hal ini dapat dilihat pada Jadual 5 di bawah:
Justeru itu, PBS, Star dan Bersatu paling beruntung kerana hampir semua kerusi yang dimenangi merupakan kerusi penyandang.
Jadi, tidak timbul isu Upko dan Warisan tidak relevan. Hakikatnya pengundi di Sabah memilih mengikut calon, terutama yang lama menyumbang bakti.
Upko kalah bukan sebab parti tak relevan
Untuk rekod, Upko hanya menang satu daripada 12 kerusi sahaja ditandingi. Jika dilihat di semua kerusi Upko kalah, parti tersebut masih menerima undi yang memberangsangkan.
Untuk pengetahuan semua, semua lima Adun Upko yang menang atas tiket BN tidak ikut serta parti mereka lompat menyertai gabungan Warisan.
Mereka kekal bebas dan kebanyakan mereka masuk parti Star dan Bersatu dan dicalonkan semula.
Semua lima Adun Upko yang bertanding semula atas tiket PN menang.
Kerusi tunggal yang dimenangi Upko juga adalah kerusi penyandang.
Jika dilihat Jadual 6 di bawah, terdapat 4 kerusi yang menyaksikan pertembungan Umno-BN dengan PBS di 2 kerusi, sementara pertembungan PBRS-BN dengan Star di 2 kerusi menyebabkan PBS dan Star menang kesemua 4 kerusi, malahan BN menerusi Umno dan PBRS masing-masing kehilangan satu kerusi ke tangan PBS-Star.
Bagaimanapun, ia boleh dielakkan jika Umno dan PBRS meletakkan calon penyandang, namun sayangnya penyandang kedua-dua kerusi tersebut melompat ke Bersatu dan Star pasca PRU14.
Akan tetapi, jika perlawanan BN dengan Star-PBS dapat dielakkan, dan dengan BN sahaja bertanding semua empat kerusi tersebut, BN boleh menang kesemuanya.
Kerusi Bongawan pula jika perlawanan antara Anifah Aman dengan Umno dapat dielakkan, Warisan sudah pasti kehilangan kerusi tersebut.
Dalam masa yang sama, terdapat dakwaan calon bebas sengaja dihantar bertanding di beberapa kerusi untuk kalahkan BN.
Saya tidak pasti kesahihannya, namun ketiga-tiga yang menang mewakili bebas adalah mempunyai sejarah bekas ahli Umno, mahupun pernah menjadi Adun suatu masa dahulu.
Contohnya, DUN Pitas. Calon bebas yang menang ini merupakan bekas ahli Umno dan PKR, masuk Bersatu. Akan tetapi, kerusi tersebut dikuotakan kepada Umno. Maka, dia bertanding sebagai calon bebas.
Calon tukar, parti kekal tanding
Walau bagaimanapun, jika dilihat keputusan PRU14 dan PRN yang mana walaupun calonnya bertukar, tetapi parti tersebut kekal kerusi tersebut.
Hal ini dapat dilihat melalui kerusi-kerusi DUN di bawah sesebuah parlimen yang disapu bersih oleh parti yang bertanding:
- Parlimen Beluran: Umno dan Bersatu sapu bersih semua dua kerusi DUN di bawahnya.
- Parlimen Kinabatangan: Umno sapu bersih semua tiga kerusi DUN di bawahnya.
- Parlimen Semporna: Warisan sapu bersih semua tiga kerusi DUN di bawahnya.
- Parlimen Lahad Datu: Warisan sapu bersih semua empat kerusi DUN di bawahnya.
Hal ini menunjukkan logo parti kekal relevan namun terhad di sesetengah kerusi sahaja.
PRU15: Kerusi menang, kerusi 50-50
Berdasarkan keputusan PRN ini, saya merumuskan senarai kerusi parlimen yang pasti menang oleh sesebuah parti politik dan juga 50-50 pada PRU15 nanti.
Kerusi menang untuk PH dan Warisan:
- Kota Kinabalu
- Sandakan
- Penampang
- Sepanggar
- Lahad Datu
- Semporna
- Tawau
- Putatan
- Batu Sapi
Kerusi menang untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS):
- Kota Marudu
- Kota Belud
- Tuaran
- Beaufort
- Pensiangan
- Ranau
- Keningau
- Beluran
- Libaran
Kerusi 50-50:
- Kudat
- Papar
- Kimanis
- Sipitang
- Tenom
- Kalabakan
Apa berlaku lepas PRN Sabah?
Pembubaran parlimen bakal dibuat dalam tahun ini, namun dengan syarat kes wabak virus Covid telah reda dalam keadaan terkawal walaupun masih ada lagi.
Pertikaian Umno-Bersatu akan berpanjangan walaupun ketua Bersatu negeri Hajiji Mohd Noor menjadi ketua menteri Sabah.
Apa perlu dilakukan selepas ini oleh GRS untuk PRU15?
Pertama, agihan kerusi parlimen di Sabah perlu bersandarkan penyandang PRU14 atas parti mana yang terkini. Jika penyandang tersebut popular atau bagus, terus calonkan penyandang tersebut. Jika melihat kepada senarai jumlah kerusi clear winner oleh kedua-dua gabungan, ia sama dan terdapat enam kerusi menjadi penentu kemenangan mana-mana gabungan.
Kedua, jika sesebuah kerusi di Sabah perlu ditukar calon atau parti baru, perlulah jalankan gerak kerja sebelum PRU15 dan buktikan yang bakal menjadi calon disukai pengundi.
Ketiga, berkenaan kerusi PRU15 di Semenanjung pula, saya menasihatkan agar lebih baik kerusi-kerusi majoriti Melayu yang MCA kalah PRU14 dan PRK diserahkan kepada Bersatu dan PAS supaya Bersatu dan PAS ada kerusi yang boleh menang, dan Umno juga dapat sebahagian besar kerusi boleh menang.
Berikut beberapa kesimpulan berdasarkan keputusan PRN Sabah kali ini:
- MCA ada harapan untuk merampas kerusi sub bandar dan luar bandar yang mempunyai 60 peratis peratus bawah pengundi Cina, namun tidak ada harapan menang kerusi bandar dan pengundi Cina melebihi 60 peratus seperti di enam DUN yang dimenangi DAP.
- Semua enam kawasan di Sabah yang dimenangi DAP merupakan kawasan bandar yang bermajoritikan Cina melebihi 70 peratus (kerusi hitam untuk MCA atau SAPP).
- Pantai Timur Sabah dan sekitar bandaraya Kota Kinabalu merupakan kawasan kuat PH dan Warisan.
- Kawasan Utara dan Kadazan-Murut adalah kawasan kuat GRS, namun bergantung calonnya.
- Kawasan Pantai Barat Sabah merupakan kawasan 50-50.
- Calon penyandang adalah faktor penting kepada kejayaan sesebuah parti. Hal ini dapat dilihat melalui kemenangan PBS, Bersatu dan Star yang meletakkan calon penyandang di kebanyakan kerusi. Namun, ia terpakai sepenuhnya di Sabah sahaja.
- PBRS ‘mati penyek’ akibat pertembungan Star-PBS.
- Walaupun pola pengundian di Sabah sama seperti PRU14, namun pola pengundian di Sabah tidak sama dengan Semenanjung.
ARIF ANWAR LOKMANOL HAKIM ialah alumni pengajian ijazah sarjana muda sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.