Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu lori cuba sogok pegawai polis didenda RM10,000

Seorang pemandu lori didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Alor Setar hari ini setelah dia mengaku bersalah memberi suapan wang tunai sebanyak RM450 kepada seorang pegawai polis enam tahun lepas.

L.Gopalakrishnan, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Dia didakwa menawarkan suapan berkenaan kepada seorang inspektor polis sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 9,506 liter tanpa lesen sah di No. 7137 Jalan Kuala Benut, Sungai Karangan, Padang Serai, Kulim pada 3.30 pagi, 16 Okt 2014.

Dakwaan dibuat menurut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga sembilan bulan atau denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuannya, bapa empat anak itu memohon hukuman ringan kerana dia perlu menyara seorang anak kelainan upaya, seorang masih belajar manakala dua lagi kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sew Ping manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS