Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPD di Penjara Tawau dilanjut 14 hari
Diterbitkan:  Sep 27, 2020 5:07 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan bahawa perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau akan dilanjutkan 14 hari lagi.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau bermula 11 Sept hingga 25 Sept.

"Dalam tempoh tersebut, kadar kes baru di kawasan berkenaan ialah sebanyak dua angka sehari dan pada 23 September 2020, sebanyak 107 kes baharu dilaporkan.

"Mengambil kira penilaian risiko terhadap penularan wabak ini, kerajaan telah bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan ini 14 hari lagi bermula 26 September sehingga 9 Oktober 2020," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kes-kes Covid-19 di Penjara Tawau adalah sebahagian dari Kluster Benteng Lahad Datu, yang pertama kali dikesan pada awal September.

Kluster berkenaan melibatkan dua migran yang ditahan di lokap polis Lahad Datu dan seterusnya merebak di penjara, dipercayai melalui seorang tahanan yang ditahan di lokap Lahad Datu.

Lokasi lain yang turut terjejas dengan kluster itu adalah Kinabatangan dan Sandakan.

Sehingga Sabtu tengah hari, kluster ini telah mencatat sejumlah 776 kes positif, di mana 609 melibatkan individu di Penjara Tawau termasuk 652 tahanan.

Individu yang lain adalah pegawai penjara, ahli keluarga mereka, dan saudara-mara tahanan yang telah mengunjunginya.

Dalam kenyataan sama, Ismail memaklumkan bahawa PKPD secara Pentadbiran di Zon Melor, Amanjaya, Kedah yang dilanjutkan bermula 14 Sept tamat hari ini.

Kata Ismail, penamatan ini dibuat selepas tiada penambahan kes baru positif Covid-19 direkodkan untuk tempoh 13 hari iaitu sejak 14 September 2020.

"Sebanyak 4,931 sampel telah diambil di Zon Melor dan bilangan kes positif Covid-19 kekal 13 kes seperti yang direkodkan pada 13 September 2020 yang lalu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS