Dalam kempennya, Warisan Plus menggesa pengundi “menyingkirkan katak” – istilah yang digunakan bagi Adun yang melompat parti, walaupun ironinya parti itu juga menerima mereka selepas PRU lalu.
Di kebanyakan tempat di negeri itu, papan tanda didirikan bagi meminta pengundi menukar "katak" kepada “pusas”, iaitu makanan ringan orang tempatan.
Untuk rekod, seramai 18 Adun yang melompat parti selepas dipilih pada pilihan raya umum (PRU18) bertanding lagi menerusi pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
Baca: Enam Adun Umno, Upko lompat sertai Warisan
Keputusan PRN semalam menunjukkan daripada jumlah itu, hanya tujuh tewas.
Antara yang tewas termasuk lima calon yang bertanding sebagai bebas - Anita Baranting (Tandek), Musbah Jamli (Tempasuk), Kenny Chua (Inanam), Abd Rahman Kongkawang (Labuk) dan Saddi Abdu Rahman (Sukau).
Adun lompat yang dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusinya tetapi tewas ialah Jamawi Ja'afar (BN-Umno, Melalap) dan Abd Muis Picho (PN-Bersatu, Sebatik).
Pada 2018, Jamawi menang di kerusi Kemabong sebelum beralih kepada Warisan.
Menerusi PRN semalam, Jamawi tewas kepada Naib Presiden Warisan, Peter Anthony, yang juga penyandang kerusi Melalap yang meraih 50.17 peratus undi.
Abd Muis, yang merupakan penyandang Sebatik hanya meraih 35.8 peratus undi, ditewaskan oleh lawannya dari Warisan, Hassan A Gani PG Amir yang menang kerusi itu dengan meraih undi sebanyak 44.58 peratus.
Hanya satu Adun lompat parti yang bertanding sebagai bebas menang, iaitu Masiung Banah.
Masiung berjaya mempertahankan kerusinya di Kuamut yang telah disandangnya sejak 2018.
Pada tahun itu, dia memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN-Upko sebelum beralih kepada Warisan.
Kesemua tujuh penyandang PN-Bersatu selain Abd Muis, berjaya mempertahankan kerusinya.
Kelapan-lapan ini adalah mereka yang bertanding atas tiket PN-Bersatu yang turut memenangi PRU18 lalu atas tiket BN.
Tujuh Adun lompat parti yang menang adalah Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Ghulam Haidan Khan Bahadar (Kawang), Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Limus Jury (Kuala Penyu), Masidi Manjun (Karanaan) dan Nizam Abu Bakar (Apas).
Terdapat dua Adun lompat parti yang diambil semula oleh PN-Star sebagai calon dan kedua-duanya memenangi PRN semalam.
Ellron Alfred Angin yang mempertahankan kerusinya di Sook menang pada PRU18 lalu atas tiket BN-PBRS.
Abidin Madingkir pula mempertahankan kerusinya di Paginatan dan memenangi kerusi tersebut pada PRU18 lalu atas tiket BN-Upko.
Hanya empat calon yang melompat parti Julai lalu menerusi “Langkah Seri Anggerik” berjaya mempertahankan kerusi mereka.
Mereka adalah Masiung (IND-Kuamut), Limus Jury (PN-Bersatu, Kuala Penyu), Abidin Madingkir (PN-Star, Paginatan) dan James Ratib (BN-Umno, Sugut).
Satu-satunya wakil rakyat yang menang pada tahun 2018 dan berpaling tadah tetapi diletakkan sebagai calon oleh gabungan Warisan Plus ialah Ewon Benedick, dari Upko.
Ewon mengekalkan kerusi DUN Tanjung Aru yang disandangnya. Bahagian undinya adalah 51 peratus, meningkat daripada 47 peratus pada 2018.