Berdekatan rumah setinggan Kampung Bangau-Bangau, beberapa kanak-kanak berseragam putih-biru berjalan baru pulang sekolah, melintasi beberapa kanak-kanak lain yang bermain lari-lari di tepi jalan.
Tidak seperti rakan-rakan mereka tadi, mereka tidak ke sekolah. Sebahagian daripada mereka tidak mempunyai dokumen kerakyatan.
Berbanding negeri lain, Sabah mempunyai penduduk bukan warganegara tertinggi di Malaysia.
Dengan penduduk seramai 3.9 juta, Sabah mempunyai hampir 1.1 juta penduduk bukan warganegara, atau 28 peratus - jauh lebih tinggi daripada negeri kedua dari segi peratusan di Kuala Lumpur dengan 12.8 peratus (lebih 220,000 orang), atau dari segi jumlah di Selangor, lebih 580,000 orang (8.9 peratus).
Meskipun begitu, menurut felo kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS, Wan Shawaluddin Wan Hassan, angka sebenar golongan itu tidak dapat dipastikan.
Kampung Bangau-Bangau merupakan perkampungan setinggan di atas air di daerah Semporna, dengan sebahagian kediamannya turut dibina di atas darat di kawasan sekitar.
Sebahagian kecil daripada kanak-kanak dan remaja di kampung itu berkumpul di sebuah sekolah khusus untuk anak-anak tanpa kerakyatan, terletak di kampung jiran, Kampung Air.
Isu penduduk tanpa kewarganegaraan merupakan isu kompleks dan sensitif di Sabah.
Sebahagian anak-anak ini merupakan hasil perkahwinan campur warga tempatan dengan warga asing, sebahagian tinggal membesar di kawasan pedalaman.
Ada juga yang lewat didaftarkan ibu-bapa mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kemiskinan, akibat kurang kesedaran.
Anak-anak di Kampung Bangau-Bangau ini terhimpit oleh faktor yang kompleks dan rencam, tetapi memerangkap mereka dalam kemelut yang sama- menjadi rakyat tanpa kerakyatan.
Sekolah alternatif
Ketika ditemui di Sekolah Alternatif Borneo Komrad, kira-kira 40 orang pelajar hadir dalam kelas pagi itu. Selalunya, akan ada dua sesi - pagi dan petang, tetapi dek kerana Covid-19, semua kelas dihimpun dalam sesi pagi sahaja.
Mereka belajar bersama cikgu dan pengasas Sekolah Alternatif, Mukmin Nantang, 26, berehat seketika untuk makan, sebelum menyambung kelas bersama seorang lagi cikgu Achmad Fatkur Raziq, 24.
Kata Mukmin, anak-anak dan remaja di sekolah itu bukan saja diajar menulis dan mengira, tetapi juga kemahiran yang dapat membantu mereka selepas bergraduasi dari sekolah itu nanti, seperti kemahiran berniaga, menjahit, bercucuk-tanam, memasak dan sebagainya.
Mereka juga diajar untuk faham tentang penindasan yang dikenakan terhadap mereka selaku golongan marginal, seperti gaji yang terlalu rendah untuk masa kerja yang terlalu lama, kahwin bawah umur, ganggual seksual dan sebagainya.
“Ketika kita tanya cita-cita mereka, mereka jawab doktor, jurutera, peguam, askar. Tapi, bayangkan kalau kita tanya, selepas sekolah mahu kerja apa? (Mereka jawab) tukang cuci piring, pelayan. Sayang kan?
“Dia ada cita-cita, bukan tak ada cita-cita, tapi dia tahu realiti dia …” katanya.
Kerana itu, katanya di Sekolah Alternatif, pelajar digalak untuk mengejar cita-cita- doktor tak semestinya di hospital, masih boleh menjadi bidan kampung, dan cikgu tak semestinya di sekolah-sekolah kerajaan - tetapi ia tidak diterap secara melampau sehingga melangkaui realiti yang membelenggu mereka.
Ketika ditanya, seorang pelajar, Siti Suhaimah Mustapa, 15, memberitahu yang cita-citanya mahu menjadi cikgu, dan secara kebetulan, dia juga rupa-rupanya dibayar menjadi tenaga pengajar sambilan di sekolah itu untuk mengajar pelajar-pelajar yang lebih muda.
Tak mampu terima semua pelajar
Suhaimah merupakan antara pelajar awal yang belajar bersama Mukmin sejak sekolah berkenaan belum ditubuhkan, dan dia merupakan antara pelajar yang berkunjung dari rumah ke rumah untuk meyakinkan ibu-bapa menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Alternatif selepas tertubuh.
Sambutan menggalakkan, namun, sekolah itu tidak mampu menerima semua pelajar, dan terpaksa memilih pelajar, terutamanya jika pemohon datang dari keluarga yang sama.
Mengakui masalah itu, Achmad berkata, harapannya, pelajar-pelajar dari sekolah berkenaan akan menabur berbakti dan membangunkan sekolah-sekolah kecil dalam komuniti untuk pendidikan golongan seumpama mereka.
“Kami di sini, mungkin bantu dalam 1 peratus daripada mereka. Harapnya, mereka balik, membantu lagi komuniti mereka untuk membangun, sekurang-kurangnyaya pun boleh membaca, boleh mengira, tak ditipu.
“Kalau (soal) kerjaya, kalau tanya dengan budak-budak ini, macam-macam mereka punya cita-cita. Tapi mereka sendiri tahu had mereka sampai mana. Yang membezakan mereka, (hanyalah) dokumen,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Sabrin Mohd Amrin, 18, berkongsi bagaimana dia terpaksa berhenti belajar bersama Mukmin pada 2017 - ketika Sekolah Alternatif belum tertubuh rasmi - kerana terpaksa bekerja mencari wang membantu keluarga. Ketika itu dia berusia 15 tahun.
Setelah difitnah mencuri wang, anak sulung itu diberhentikan kerja, sebelum kembali bersekolah, namun sekali lagi terpaksa mencari kerja di sebuah restoran pada tahun lepas, ketika ibunya sedang mengandungkan adik bongsunya, manakala seorang lagi adiknya jatuh sakit.
Dia dibayar RM350 sebulan untuk 13 jam waktu bekerja.
Ketika itulah, Mukmin berjumpa ibunya untuk mengambilnya bekerja di Sekolah Alternatif, dalam masa sama, dia boleh menghadiri kelas - cadangan yang dipersetujui ibunya.
Kini, Sabrin akan menyertai kelas pada sebelah pagi, sebelum melaksanakan tanggungjawab menjahit beg kain di sekolah untuk dijual.
“Sekarang okeylah, dapat bantu emak sikit-sikit. Tapi tak tahulah kalau mahu lama lagi dekat sini. Tak pasti lagi, sebab aku mahu tolong mak bapakku lagi,” katanya dalam nada perlahan.
Kedua-dua Suhaimah dan Sabrin merupakan remaja tanpa dokumen, dan kedua-duanya tinggal di Kampung Bangau-Bangau di bawah DUN Bugaya.
Bagi yang tidak berpeluang menghantar anak mereka ke sekolah itu, bukanlah bermaksud mereka tidak mahu anak mereka mendapat pendidikan, seperti dikongsikan seorang penolak kereta sorong, Mitton bin Anosong, 32 yang tidak mempunyai IC.
Ditemui ketika sedang menunggu untuk mengangkut barangan pelanggan ke dalam kampung Bangau-Bangau dengan kereta sorongnya, dia bahkan berharap agar lima orang anaknya dapat dibantu untuk membolehkan mereka bersekolah.
Manakala ibu kepada salah seorang pelajar Sekolah Alternatif, Siti Marina Salhati, 41, tidak dapat menyembunyikan rasa kesalnya apabila sering ditanya anak-anak kenapa mereka tidak boleh bersekolah, sedangkan dia sendiri mempunyai dokumen, tetapi tidak anak-anaknya.
Kata Achmad, ada beberapa pelajarnya mempunyai surat beranak, tetapi belum mempunyai IC meskipun sudah menginjak umur 15 tahun. Birokrasi di mahkamah dan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara pula menyukarkan proses permohonan IC, dalam keadaaan keluarga mereka yang miskin dan “makan sekadar makan” sahaja.
Janji ahli politik
Sabah kini berdepan pilihan raya negeri (PRN). Jika di pantai barat, isu PTI menjadi bahan kempen utama, di pantai timur, ia tidak begitu timbul.
Malah, dua calon Bugaya, Manis Buka Mohd Darah (Warisan) dan Mohd Daud Tampokong (PN) tidak memberikan buah fikir meyakinkan ketika disoal mengenai hal itu.
Jika Manis hanya menyatakan dia “fikir” masalah itu boleh diatasi, Daud pula yakin Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin komited untuk menyelesaikan masalah itu.
Malah, isu ini dibimbangi diambil kesempatan oleh pihak tertentu, seperti dikongsikan seorang penduduk. Katanya, dia pernah dikunjungi oleh individu berbeza yang mendakwa dari PN dan Warisan yang menjanjikan untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
Syaratnya, mereka perlu mengundi parti-parti berkenaan. Bagaimanapun, dakwaan penduduk itu tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Bagi Wan Shawaluddin, isu ini sukar menemui jalan penyelesaian memandangkan ia merupakan isu yang sangat sensitif, terutamanya buat suku kaum tertentu di Sabah yang akan memberikan reaksi menentang setiap kali timbul usul bagi menangani isu berkenaan.
Baginya, langkah pertama, kerajaan perlulah terlebih dahulu mewujudkan mekanisme untuk mendapatkan anggaran jumlah komuniti yang lebih tepat, meskipun langkah itu pun katanya pasti akan mengundang reaksi negatif.
Dia menyambut baik usul kerajaan untuk menjadikan dokumen IMM13 sebagai dokumen pengenalan tunggal pendatang asing, sebagai menyelaraskan hampir 136,000 pemegang pelbagai dokumen, dalam rekod kerajaan - yang menurutnya dapat mengenal pasti banyak dokumen palsu hasil sindiket haram.
IMM13 ialah dokumen buat pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an akibat pergolakan di negara asal.
Pada Ogos, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberi amaran kepada pendatang tanpa dokumen di Sabah untuk kembali ke negara asal sebelum diburu dalam operasi besar-besaran dan tambahnya, kerajaan tidak akan mengeluarkan dokumen baru selain daripada yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Sebelum ini, isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang sepatutnya menggantikan semua dokumen lain pernah dipolemikkan sehingga membawa kepada kekalahan Warisan dalam pilhan raya kecil (PRK) Kimanis kepada BN, sehingga akhirnya dibatalkan pelaksanaannya.
Selain IMM13, dokumen lain kepada pendatang ialah Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang masing-masing dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kata Wan Shawaluddin, meskipun dia faham sentimen sebahagian penduduk Sabah terhadap pendatang asing, lebih-lebih lagi dengan kluster baru Covid-19 dicetuskan mereka, baginya, masalah berkaitan PTI dan penduduk tanpa kerakyatan masih perlu diatasi.
“Mereka itu manusia, kita kena cari penyelesaian,” tambahnya.